Rang Undang-Undang Mufti dirujuk ke Majlis Raja-Raja minggu depan - PM

Bernama
Julai 11, 2024 06:00 MYT
Anwar berkata buat masa ini RUU itu di peringkat perbincangan untuk diperincikan oleh mereka yang pakar dalam bidang berkenaan. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata perincian berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) mungkin akan dirujuk kepada Majlis Raja-Raja minggu depan.
Beliau berkata buat masa ini RUU itu di peringkat perbincangan untuk diperincikan oleh mereka yang pakar dalam bidang berkenaan.
"Kita sedang bincang dan dengar pelbagai pandangan... bermakna tidak ada pertikaian mengenai soal Sunnah Wal Jamaah, (kita) rujuk kepada (Mazhab) Syafie, Hanafi, Maliki atau Hambali dan pandangan-pandangan lain.
"Perincian itu ada dibincangkan dan saya serah kepada pakar," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Global MADANI Forum 2024 yang bertemakan 'Catalysing The Next Civilisational Revival', di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong serta Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.
Anwar berkata demikian semasa diminta mengulas laporan sebuah portal bahawa Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail bertitah tidak berkenan nama Majlis Raja-Raja digunakan dalam usaha menyokong rang undang-undang itu yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat oleh Mohd Na'im pada 2 Julai lepas.
Baginda dilaporkan bertitah demikian menerusi Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin yang kemudiannya membuat hantaran di Facebook.
Dalam perkembangan lain Perdana Menteri berkata beliau tidak menolak kemungkinan elemen sogokan sebagai punca menyebabkan usaha menghapuskan kegiatan pelacuran di ibu kota masih tidak berjaya, walaupun tindakan penguatkuasaan kerap dilaksanakan.
Bagaimanapun beliau berkata kerajaan pimpinannnya telah mengambil tindakan keras bagi membanteras kegiatan itu sejak tahun lepas, termasuk arahan diberikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Kamarulzaman Mat Salleh.
"Saya percaya jika ada sarang pelacuran, sarang perjudian haram, semua ini mesti ada elemen sogokan," katanya yang turut menyifatkan kegiatan tidak bermoral itu telah berlarutan begitu lama.
Anwar berkata demikian semasa ditanya mengenai laporan sebuah akhbar yang mendakwa kegiatan pelacuran di ibu kota masih tidak dapat dihapuskan, manakala Indonesia berjaya menutup pusat pelacuran terbesar Asia Tenggara yang terletak di Surabaya.
-- BERNAMA
#Rang Undang-Undang Mufti #Anwar Ibrahim #Majlis Raja-Raja #Tuanku Syed Sirajuddin #Raja Perlis