Rang Undang-undang Keharmonian Nasional masih di peringkat perbincangan - Nancy
Astro Awani
Julai 2, 2014 17:47 MYT
Julai 2, 2014 17:47 MYT
Draf Rang Undang-Undang (RUU) Keharmonian Nasional masih belum dimuktamadkan kerana melalui proses konsultasi dengan pelbagai pihak berkepentingan di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, terdapat tiga draf kerja RUU tersebut berhubung keharmonian nasional telah dicadangkan oleh Jawatankuasa Perundangan dan Dasar-Dasar Mempromosi Keharmonian Nasional di bawah Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN).
Jelasnya, ia masih lagi kekal sebagai cadangan dan bukannya sesuatu yang telah dimuktamadkan kerajaan.
"Anggapan orang ramai bahawa draf RUU berkenaan telah siap dan akan dibentangkan kerajaan di Parlimen adalah tidak benar sama sekali.
"Kerajaan tidak akan melakukan sesuatu secara tergesa-gesa mahupun menggubal sesuatu undang-undang yang boleh mengganggu-gugat keharmonian negara ini," katanya dalam satu kenyataan di sini.
Ujarnya, sesuatu draf RUU perlulah melalui proses penggubalan yang ketat dan isi kandungannya hendaklah tidak bercanggah dengan undang-undang tertinggi di negara ini, iaitu Perlembagaan Persekutuan.
Draf RUU perlu disemak dan diteliti oleh Jabatan Peguam Negara bagi memastikannya adalah menepati prinsip undang-undang yang terpakai dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang lain yang berkaitan.
Pada 11 Julai 2012, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan hasrat untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 dan menggantikannya dengan suatu Akta baru yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.
Objektif Akta Keharmonian Nasional bukan sahaja untuk memperkasakan undang-undang tetapi juga untuk mencari mekanisme yang dapat menentukan keseimbangan terbaik antara keperluan menjamin hak kebebasan bersuara yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan dan membolehkan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang menggunakan isu-isu sensitif untuk memecahbelahkan perpaduan nasional.
MKPN, yang diurus setia oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), agensi di bawah Tan Sri Joseph Kurup telah menjalankan konsultasi dengan para pemegang saham termasuk Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) bagi mendapatkan input mereka.
MPKN adalah sebuah badan bebas yang telah ditubuhkan oleh Kerajaan pada 11 September 2013 sebagai usaha penyatuan nasional untuk mengurangkan polarisasi antara kaum dan dalam usaha membina bangsa Malaysia yang bersatu padu.
Badan ini bertujuan untuk membincangkan isu-isu kompleks di kalangan masyarakat Malaysia bagi merintis jalan penyelesaian dan merapatkan jurang yang menghalang perpaduan.
Melalui beberapa siri rundingan bersama para pemegang saham, Jawatankuasa Perundangan dan Dasar-Dasar Mempromosi Keharmonian Nasional di bawah MPKN seterusnya menghasilkan tiga draf RUU berkaitan keharmonian nasional untuk dipertimbangkan.
Hanya apabila selesai semua proses rundingan, draf akhir RUU yang dicadangkan oleh MPKN akan dimajukan kepada Jabatan Peguam Negara untuk diteliti dan diperhalusi dengan lebih lanjut seperti mana proses penggubalan undang-undang yang diamalkan di negara ini.
Kemudian, ia boleh dibawa untuk mendapatkan kelulusan Jemaah Menteri sebelum dibentangkan di Parlimen.
Sehingga hari ini, Akta Hasutan 1948 masih lagi berkuat kuasa sehinggalah tarikh pemansuhannya diumumkan kelak, iaitu setelah RUU Keharmonian Nasional, atau apa jua nama bersesuaian yang akan digunakan untuk akta itu kelak, diluluskan di Parlimen.
Jelas Nancy, tiga draf cadangan kerja RUU sudah diserahkan kepadanya di atas kapasiti sebagai Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal undang-undang.
"Namun, input daripada draf-draf cadangan kerja berkenaan masih lagi sedang diteliti dan dikaji.
"Penyerahan draf cadangan kerja tersebut tidak bermakna kita harus dan akan bersetuju dengan segala cadangan yang diberikan. Setiap cadangan yang dipertimbangkan akan mengambil kira segala aspek yang melibatkan kepelbagaian agama dan bangsa di negara ini termasuk Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan kedudukan Raja-Raja sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan," ujarnya.
Katanya, sekiranya sesuatu cadangan itu adalah baik dan sesuai serta boleh dilaksanakan di negara ini, maka cadangan tersebut akan dipertimbangkan.
Jelasnya lagi, kerajaan tidak akan sama sekali membelakangkan peruntukan-peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan di dalam setiap keputusan yang akan dibuat kelak.