Rang Undang-Undang Kawalan Produk Rokok tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Bernama
November 30, 2023 09:20 MYT
Penggulungan perbahasan RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 tumpuan utama Dewan Rakyat hari ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 menjadi tumpuan utama persidangan Dewan Rakyat hari ini, yang juga hari terakhir bagi Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-15.
Penggulungan itu dijadual dibuat Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa usai sesi soal jawab sebelum akan diputuskan ahli Dewan Rakyat untuk kelulusan setelah rang undang-undang itu dibahas oleh 26 Ahli Parlimen, semalam.
Rang undang-undang itu antaranya memperuntukkan larangan bagi menjual dan membeli produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau atau mengadakan apa-apa perkhidmatan untuk merokok kepada Orang Belum Dewasa (OBD).
Sementara itu, isu bencana banjir dan impak pengecualian visa kepada pelancong China dan India dibangkitkan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sejurus sidang Dewan Rakyat bermula pada 10 pagi.
Menurut aturan urusan mesyuarat disiarkan di laman sesawang Parlimen, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) bertanyakan Perdana Menteri berhubung langkah diambil kerajaan bagi memastikan kebajikan mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS).
Lim Guan Eng (PH-Bagan) pula meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan impak positif pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong China dan India terhadap objektif mencapai sasaran 25 juta pelancong luar negeri dan nilai hasilnya.
Persidangan Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Parlimen ke-15 berlangsung selama 32 hari bermula 9 Okt lepas.
-- BERNAMA
#Dewan Rakyat #RUU Kawalan Produk Merokok #kesihatan awam #Zaliha Mustafa
;