Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 dibentang

Wan Syamsul Amly
Mac 31, 2014 10:11 MYT
Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) 2014, yang mewujudkan peruntukan bagi pengenaan dan pemungutan cukai berkaitan dengannya, dibentangkan pada sidang Dewan Rakyat pada Isnin.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan membentangkan rang undang-undang yang mempunyai 197 fasal dan 19 bahagian itu untuk bacaan kali pertama.
Ahmad berkata bacaan kali kedua rang undang-undang itu dijangka dibentangkan di Parlimen pada Isnin depan.
GST akan menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang dikenakan dan dipungut mengikut Akta Cukai Jualan 1972 dan Akta Cukai Perkhidmatan 1975.
Rang undang-undang itu akan melibatkan kerajaan dalam perbelanjaan wang tambahan yang amaunnya belum dapat ditentukan sekarang.
Fasal 56 rang undang-undang berkenaan memberi kuasa kepada menteri untuk melepaskan mana-mana orang atau golongan daripada pembayaran keseluruhan atau sebahagian cukai boleh dikenakan dan dilevi.
Menurut fasal 64 pula, akta itu tidak terpakai berhubung pembekalan barang atau perkhidmatan yang dibuat oleh kerajaan persekutuan dan negeri, melainkan jika diarahkan selainnya oleh menteri dalam suatu perintah.
Oktober lepas, semasa pembentangan Belanjawan 2014 di parlimen, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan GST berkuat kuasa 1 April 2015, pada kadar enam peratus, menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan sebanyak 16 peratus.
#Dewan Rakyat #GST #Rang Undang-undang Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014