Rang undang-undang berhubung perdagangan karbon dibentang sebelum akhir tahun ini - TPM Fadillah

Bernama
Jun 12, 2024 17:01 MYT
Fadillah (kiri) melihat enjin kereta menggunakan kuasa hidrogen ketika melawat pameran sebelum merasmikan penutupan Asia Pacific Green Hydrogen Conference and Exhibition 2024 hari ini. - Foto Bernama
KUCHING: Kerajaan Persekutuan merancang untuk membentangkan satu rang undang-undang berhubung perdagangan karbon sebelum akhir tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Beliau berkata Kabinet memutuskan untuk membentangkan rang undang-undang berkenaan tahun ini susulan arahan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Insya-Allah menjelang akhir tahun RUU (rang undang-Undang) akan dibentangkan (di Dewan Rakyat)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutupan persidangan dan pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH) 2024 di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg baru-baru ini agar kerajaan pusat menambah baik perundangan sedia ada berhubung perniagaan tenaga, termasuk perkara berkaitan perdagangan karbon.
"Saya setuju Sarawak agak maju dari segi undang-undang (perdagangan karbon) yang mereka luluskan di Dewan Undangan Negeri. Sekarang cabarannya di peringkat nasional," katanya.
Fadillah berkata rang undang-undang itu bukan sahaja akan merangkumi undang-undang dan peraturan mengenai perdagangan karbon tetapi juga akan melihat skim cukai dan perkara-perkara lain yang berkaitan.
-- BERNAMA
#Rang Undang-undang berhubung perdagangan karbon #Fadillah Yusof #kabinet #Anwar Ibrahim #Dewan Rakyat
;