Rancangan untuk kurangkan masa kelulusan pembangunan disambut baik - REHDA

Bernama
Mac 21, 2023 22:10 MYT
Datuk Seri Anwar Ibrahim berbual bersama Presiden REHDA Datuk NK Tong ketika hadir pada Majlis Makan Malam Ulangtahun REHDA ke-50 di Petaling Jaya baru-baru ini. - Bernama
KUALA LUMPUR: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) menyambut baik rancangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengurangkan masa yang diperlukan oleh pihak berkuasa tempatan untuk memberikan kelulusan pembangunan.
Presidennya Datuk NK Tong berkata ia akan membantu mengurangkan kos pegangan pemaju dan membolehkan mereka menyalurkan penjimatan kepada pembeli hartanah.
"Pemaju kemudian boleh merancang lebih awal berapa kos projek apabila terdapat petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dijadikan sebagai penanda aras oleh pihak berkuasa tempatan," katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, pasti ada cabaran kerana tanah adalah urusan negeri dan setiap pihak berkuasa tempatan mempunyai jadual masanya sendiri dalam pemberian kelulusan.
Oleh itu, adalah penting untuk memastikan semua negeri diselaraskan dengan dasar Kerajaan Persekutuan, katanya.
"Kami mahu mendapatkan kelulusan yang sewajarnya ... tiada jalan pintas, cuma mempercepatkannya. Kami percaya sesuatu boleh dilakukan, sebagai contoh, proses mempercepatkan proses permohonan pasport tanpa menjejaskan ciri-ciri keselamatan.
"Kita bukan sahaja mahu masa kelulusan dikurangkan, kita juga mahu kerajaan konsisten dalam perkara ini," kata Tong.
Menurut laporan berita, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan sedar bahawa mengurangkan masa untuk memberikan kelulusan pembangunan akan membantu meringankan beberapa cabaran yang dihadapi pemaju hartanah hari ini.
Anwar berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam pertemuan dengan Yang DiPertua Majlis Perbandaran dan Datuk Bandar minggu ini.
-- BERNAMA
#REHDA #Anwar Ibrahim #NK Tong #pbt #kelulusan pembangunan
;