Rancangan tender semula helikopter Black Hawk sedang dilaksanakan
Bernama
Mac 1, 2025 19:18 MYT
Mac 1, 2025 19:18 MYT
Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan memberi tabik hormat ketika memeriksa perbarisan pada Hari Tentera Darat ke-92 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Rancangan untuk membuat tender semula bagi helikopter Black Hawk untuk kegunaan Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) di masa hadapan sedang dilaksanakan.
Panglima Tentera Darat Jen Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata beberapa syarikat telah pun mengemukakan kertas cadangan bagi menawarkan diri untuk membekalkan pesawat berkenaan.
"Buat masa ini, parameter tetap kekal iaitu nilai projek masih pada paras RM200 juta dan kita memerlukan sewaan lima tahun untuk empat pesawat.
"Tentera Darat masih lagi membuka ruang untuk sebarang cadangan daripada mana-mana pihak yang berminat dan berkemampuan untuk projek ini," katanya pada sidang media selepas menghadiri Perbarisan Hari Tentera Darat Ke-92 di Dataran PTD Kem Perdana Sungai Besi di sini hari ini.
Pada November lepas, dilaporkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) telah menyerahkan notis pembatalan kontrak sewaan empat helikopter Black Hawk kepada syarikat yang sebelum ini telah memenangi tender sewaan berkenaan.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata tindakan itu diambil selepas syarikat berkenaan gagal memenuhi tarikh akhir yang ditetapkan walaupun sudah dilanjutkan hingga akhir Oktober lepas.
Dalam perkembangan lain, Muhammad Hafizuddeain berkata Tentera Darat Malaysia (TDM) juga bakal memperoleh empat helikopter AW149 susulan pembelian 28 unit helikopter berkenaan secara kontrak pajakan dengan kos RM16 bilion untuk tempoh 15 tahun.
"Kita difahamkan tempoh paling awal untuk memperolehnya menjelang 2027, cuma empat pesawat sahaja tetapi kita berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana ini sedikit sebanyak dapat menutup jurang keupayaan yang kita ada sekarang ini dari segi keupayaan pengangkutan udara," katanya.
-- BERNAMA
#helikopter Black Hawk
#tender semula
#Pasukan Udara Tentera Darat
#Muhammad Hafizuddeain Jantan
#terkini