Rancangan pelesenan media sosial Malaysia kurang jelas, ancam inovasi digital - Meta

Dagang News
Oktober 31, 2024 13:30 MYT
Fahmi (dua, kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan Frankel (tiga, kanan) serta pasukan daripada Meta pada Rabu. - Gambar/ FB Fahmi Fadzil
KUALA LUMPUR: Meta Platforms mengkritik rancangan Malaysia untuk mewajibkan platform media sosial memohon lesen pengawalseliaan menjelang Januari 2025, atas alasan ia kekurangan garis panduan yang jelas dan memberi masa yang terhad kepada syarikat media sosial untuk mematuhi peraturan, sekali gus berisiko terhadap inovasi dan pertumbuhan digital di negara ini.
Malaysia pada Julai 2024 berkata, platform media sosial dan perkhidmatan mesej yang mempunyai lebih lapan juta pengguna wajib mendapatkan lesen, sebagai sebahagian daripada usaha untuk membendung penipuan kewangan, buli siber dan jenayah seksual dalam talian.
Syarikat-syarikat berkenaan mungkin menghadapi tindakan undang-undang jika gagal berbuat demikian menjelang 1 Januari 2025.
Rancangan itu menghadapi tentangan, dengan satu kumpulan industri Asia termasuk Meta menggesa kerajaan pada Ogos untuk menangguhkan langkah tersebut.
Bagaimanapun, Malaysia bertegas tidak akan menangguhkan peraturan yang dicadangkan, dengan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyatakan syarikat teknologi mesti mematuhi undang-undang tempatan untuk terus beroperasi di negara ini.
Pengarah dasar awam Meta untuk Asia Tenggara, Rafael Frankel berkata, firma itu belum memutuskan sama ada ia bercadang untuk memohon lesen sebelum tarikh akhir pada Januari 2025, disebabkan kurang jelas mengenai peraturan baharu tersebut.
"Masa untuk memohon lesen sangat terhad dan tanggungjawab bagi syarikat media sosial di bawah rancangan tersebut masih tidak jelas," katanya dalam satu wawancara dengan Reuters.
Frankel berkata, peraturan sedemikian biasanya mengambil masa beberapa tahun untuk dilaksanakan termasuk mengemukakan garis panduan keselamatan bagi memastikan inovasi serta pertumbuhan ekonomi digital tidak terjejas.
Kementerian Komunikasi Malaysia tidak memberi maklum balas apabila diminta mengulas tentang wawancara tersebut.
Dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu selepas pertemuan dengan wakil Meta sehari sebelumnya, Fahmi mengucapkan terima kasih kepada syarikat tersebut atas kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan, tetapi menggesa agar ia mengambil langkah yang lebih proaktif terhadap kandungan seksual yang melibatkan kanak-kanak di platform mereka.
Jelas Frankel, Meta berkongsi matlamat kerajaan Malaysia untuk persekitaran dalam talian yang selamat dan sedang bekerja rapat dengan pengawal selia komunikasi untuk menghapus atau menyekat kandungan berbahaya daripada platformnya.
"Kami tidak memerlukan lesen untuk alasan keselamatan dalam talian kerana kami sememangnya mengambil serius perkara ini," katanya.
Tambah beliau, Meta turut berkongsi kebimbangannya dengan kerajaan dan berharap untuk mengatasi perbezaan mengenai peraturan yang dicadangkan sebelum ia dilaksanakan.
Pihak berkuasa Malaysia menganggap perjudian dalam talian, penipuan, pornografi kanak-kanak, manipulasi dan eksploitasi, buli siber, serta kandungan yang berkaitan dengan kaum, agama dan raja sebagai berbahaya.
Malaysia melaporkan peningkatan mendadak dalam kandungan media sosial yang berbahaya pada awal 2024 dan menggesa syarikat media sosial, termasuk Meta dan platform video pendek TikTok, untuk meningkatkan pemantauan di platform mereka. - DagangNews
#Meta #pelesenan media sosial #Fahmi Fadzil #Facebook
;