Rancangan Malaysia dirangka berciri Matlamat Pembangunan Lestari - Tun M

Harits Asyraf Hasnan
September 26, 2019 11:52 MYT
Menurut Tun M, usaha itu dilakukan seiring komitmen Malaysia dalam memastikan SDG yang diterajui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dapat dijayakan. - fotoBERNAMA
Penggubalan Rancangan Malaysia (RMK) setiap lima tahun akan menerapkan usaha pelaksanaan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) menerusi visi 2020-2030.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata usaha itu dilakukan seiring komitmen Malaysia dalam memastikan SDG yang diterajui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dapat dijayakan.
“Banyak sasaran yang perlu dicapai sebelum ini yang mana boleh saya katakan kita berjaya melaksanakannya untuk menjadi negara yang membangun secara lestari.
“Malaysia, sejak merdeka menetapkan perancangan, bermula dengan pelan lima tahun, dan setiap lima tahun kita merangkanya berdasarkan kemampuan dan objektif yang mampu dicapai.
“Kami tahu aset yang ada, kelemahan dan apa yang mampu dicapai jika kita lakukannya dengan betul untuk masa hadapan Malaysia, malah kita kini berjaya mencapai sejumlah sasaran yang kami tetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pemimpin SDG Keenam: ‘Visi 2020-2030’ di bangunan PBB di sini pada Rabu.
Jelasnya, antara usaha berterusan Malaysia seiring hasrat PBB yang digariskan menerusi SDG termasuk memastikan rakyatnya keluar dari garis kemiskininan, kelestarian alam sekitar, pelepasan karbon, keselamatan makanan dan mengenyahkan radiasi termasuk kandungan berunsur nuklear.
#garis kemiskinan #Kelestarian alam sekitar #Keselamatan makanan #Mahathir Mohamad #MahathirUNGA #New York #nuklear #PBB #pelepasan karbon #Sidang Kemuncak Pemimpin SDG Keenam #Visi 2020-2030
;