Rancangan Korea Utara lancar roket ancam keamanan
Bernama
Disember 6, 2012 08:57 MYT
Disember 6, 2012 08:57 MYT
Rancangan Korea Utara untuk melancarkan roket keduanya bulan ini boleh meningkatkan ketegangan di Semenanjung Korea dan mengancam keamanan, kestabilan dan keselamatan di rantau tersebut.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Korea Utara perlu menghormati sepenuhnya resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC)dan Kenyataan Pengerusi UNSC pada 16 April lalu berhubung perkara tersebut.
"Malaysia percaya semua usaha perlu bermatlamat mengukuh komitmen untuk mengekal keamanan dan keselamatan serantau dan membentuk persekitaran aman di Semenanjung Korea khususnya dan Timur Laut Asia amnya, persekitaran yang membolehkan suasana kondusif dan penting kepada pembangunan ekonomi Korea Utara," katanya dalam satu kenyataan Rabu.
Anifah menggesa semua pihak perlu mengamalkan kekangan dan mengelak tindakan yang boleh menambah buruk keadaan di wilayah Timur Laut Asia.
Sabtu lalu Korea Utara mengumumkan rancangannya untuk melancar roket jarak jauh kedua antara 10 hingga 22 Dis ini.