Rancangan Khas MeleTOP, solidariti buat mangsa di Gaza
Syahdeen Tahir
November 7, 2023 23:40 MYT
November 7, 2023 23:40 MYT
SHAH ALAM: MeleTOP pada Selasa mengadakan Rancangan Khas sebagai tribute istimewa untuk memberikan sokongan dan solidariti terhadap mangsa peperangan di bumi Palestin.
Bersiaran secara langsung di Auditorium MBSA selama satu jam turut mempersembahkan nyanyian lagu-lagu berbentuk ketuhanan dan kemanusiaan daripada barisan penyanyi terkenal.
Antara penyanyi yang membuat persembahan adalah Misha Omar, Datuk M Nasir, UNIC, Amir Masdi dan Putera Muhammad.
Selain membuat persembahan nyanyian, para selebriti yang hadir turut berkongsi pandangan mengenai nasib yang menimpa penduduk di Gaza.
Sementara itu, Misha Omar berkata, dia pernah terlintas untuk tidak mahu lagi aktif dalam media sosial.
Namun, niat itu dibatalkan kerana tidak mahu terlepas untuk mengetahui perkembangan terkini yang berlaku di Gaza.
“Media sosial antara medium terbaik untuk kita mengetahui segala-galanya berkaitan mangsa peperangan di Gaza”
“Selain itu, kita juga boleh menyatakan pendirian kita menerusi media sosial bahawa penindasan yang dilakukan Israel amat salah di sisi undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan”
“Hal ini wajar diterapkan dalam diri setiap insan kerana membunuh kanak-kanak satu perbuatan yang tidak bermoral,” katanya selepas selesai menyanyikan lagu Ku Mohon.
Rancangan Khas itu diakhiri dengan Bacaan Doa qunut nazilah dan selawat Badar daripada UNIC.
Rancangan Khas Meletop dihoskan oleh lima pengacara iaitu Nabil Ahmad, Elly Mazlein, Hawa Rizwana, Datuk AC Mizal dan Fakhrul UNIC.