Rancangan Kawasan Khas Tanah Tinggi Lojing dirangka untuk dibangunkan secara dinamik

Bernama
November 26, 2024 21:45 MYT
Mohamed Fadzli berkata perancangan utama di Tanah Tinggi Lojing adalah untuk mencapai pembangunan yang mampan. - Gambar fail/Bernama
KOTA BHARU: Rancangan Kawasan Khas (RKK) Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang telah dirangka sebagai garis panduan bagi membolehkan pembangunan secara dinamik dan holistik dilaksanakan di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata perancangan utama di Tanah Tinggi Lojing adalah untuk mencapai pembangunan yang mampan.
"Oleh itu, strategi yang berkesan harus digariskan bagi memelihara dan memulihara alam sekitar, mewujudkan kawasan berdaya maju untuk pembangunan ekonomi, serta membentuk penempatan yang sesuai didiami dan memenuhi keperluan masyarakat setempat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Bahari Mohamad Nor (PAS-Gual Ipoh) mengenai langkah kerajaan negeri bagi pembangunan di Lojing supaya lebih komprehensif dan sesuai dengan kawasan cuaca sejuk seperti di Cameron Highlands, Pahang pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim hari ini.
Mohamed Fadzli berkata antara penumpuan pembangunan di kawasan Lojing adalah pembangunan institusi seperti perumahan, pendidikan dan kesihatan serta pembangunan kemudahan masyarakat.
"Selain itu, turut diberi tumpuan adalah pembangunan pertanian tanah tinggi dengan pelaksanaannya melalui agensi kerajaan Persekutuan dan negeri serta pembangunan komersial.
"Pembangunan Agro dan Eko Pelancongan seperti mewujudkan Pusat Konservasi Rafflesia, Tapak Perkhemahan, Taman Rusa dan Herbarium, Tanaman Pokok Hutan, Pusat Peranginan Sigar, Penanaman 40 Jenis Durian pelbagai spesies dan pusat penyelidikan turut diberi tumpuan untuk memajukan kawasan berkenaan," katanya.
-- BERNAMA
#pelancongan #pendidikan #pembangunan industri #garis panduan
;