Rancangan Johor buka sempadan bercanggah Perintah Kawalan Pergerakan - Akmal Nasir
Hakim Rahman
Mac 19, 2020 13:28 MYT
Mac 19, 2020 13:28 MYT
Rancangan Kerajaan Negeri Johor untuk membuka semula sempadan negeri itu dengan Singapura bercanggah dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasir berkata tindakan yang tidak konsisten dan pengarahan tidak jelas hanya mengurangkan lagi keyakinan rakyat terhadap kemampuan kerajaan mengatasi pandemik COVID-19.
“Pelaksanaan PKP adalah bertujuan untuk mengurangkan pergerakan manusia dan sentuhan sekali gus mengekang penyebaran virus COVID-19.
“Adakah kerajaan negeri mampu memberi jaminan sekiranya sempadan dibuka semula, tidak akan berlaku kesesakan di Tambak Johor atau di Laluan Kedua dan memastikan pengguna mengamalkan penjarakan sosial (social distancing)?,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada Rabu, Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata beliau akan memohon pelepasan khas supaya perintah kawalan pergerakan dikecualikan kepada golongan tertentu.
Antara kumpulan yang dicadangkan bagi pengecualian itu adalah rakyat Malaysia yang memiliki pas kerja dikeluarkan Malaysia dan Singapura, kargo komersial yang membawa barang keperluan, pemandu kenderaan logistik, pemandu seperti bas pekerja, juruteknik dan pakar profesional.
Turut dicadangkan untuk dikecualikan termasuk pelajar, warga asing dan rakyat Singapura yang menetap di Johor Bahru.
Dianggarkan kira-kira 400,000 warga Malaysia mencari nafkah di Singapura dengan 250,000 berulang-alik setiap hari.
Mengulas lanjut, Akmal berkata tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha membantu meringankan beban rakyat Johor dalam menghadapi COVID-19.
“Antaranya dengan berbincang dengan Singapura bagi menjamin kebajikan dan kesihatan rakyat warga Malaysia di Singapura terpelihara.
Walaupun Singapura telah memberikan komitmen untuk memudah cara pekerja Malaysia, terdapat laporan yang mengatakan ada pekerja Malaysia yang terpaksa tidur di tempat-tempat awam di Singapura,” katanya.
#Akmal Nasir
#COVID-19
#Johor Bahru
#kesihatan
#koronavirus
#Laluan Kedua
#Menteri Besar
#penyebaran virus
#Singapura
#Tambak Johor
#warga asing