Rancang tunaikan haji pada usia muda

Bernama
Ogos 2, 2019 08:15 MYT
Wan Mohamad berkata beberapa tahun kebelakangan ini dilihat terdapat penurunan dalam kalangan jemaah haji lanjut usia dari Malaysia dan peningkatan jemaah haji dalam kalangan generasi muda. --fotoBERNAMA
Generasi muda Malaysia dinasihatkan mula merancang untuk menunaikan fardu haji seawal yang mungkin bagi melancarkan dan memudahkan urusan mereka apabila tiba giliran mereka dijemput sebagai duyufurrahman atau tetamu Allah kelak.
Ketua Pakar Rujuk Lembaga Tabung Haji (TH) Datuk Wan Mohamad Abdul Aziz berkata persepsi bahawa ibadah haji untuk golongan yang lanjut usia adalah tidak benar sama sekali kerana tiada batas usia dalam syarat wajib mengerjakan rukun Islam kelima itu.
"Mungkin terjadi secara kebetulan (jemaah haji lanjut usia) kerana ibadah haji memerlukan masa yang panjang untuk bersedia dalam banyak perkara, jadi mulakan merancang pada usia muda. Kefarduan haji bukan ibadah untuk golongan tua sahaja.
"Bila syarat wajib haji antaranya mampu itu sudah dipenuhi, mungkin kemampuan dicapai umur 30-an atau 40-an atau ada yang 101 tahun, kita wajib tunaikan haji yang itu adalah ketentuan mengikut usaha kita sendiri," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat TH Makkah di Abraj Janadryiah di sini pada Khamis.
Musim haji tahun ini menyaksikan 30,200 jemaah haji Malaysia bakal mengerjakan rukun Islam kelima itu dibantu 640 petugas TH.
Terdapat lima syarat wajib haji iaitu beragama Islam, berakal, baligh, merdeka dan mampu.
Wan Mohamad, yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, berkata beberapa tahun kebelakangan ini dilihat terdapat penurunan dalam kalangan jemaah haji lanjut usia dari Malaysia dan peningkatan jemaah haji dalam kalangan generasi muda.
Beliau berkata generasi muda dilihat lebih dominan dalam kalangan jemaah negara luar mungkin atas sebab beberapa skim mengerjakan haji diperkenalkan institusi kewangan negara mereka bagi merangsang lebih banyak golongan muda mengerjakan haji.
"Generasi muda nasihat saya tanamkan rasa rindu kepada Tanah Suci ini, jadikan usaha merancang dari mula untuk mengerjakan haji ini sebagai sebuah jihad tanpa pertempuran, sebuah jihad untuk Allah," katanya.
-- BERNAMA
#duyufurrahman #fardu haji #generasi muda #Haji #jemaah haji Malaysia #lanjut usia #Lembaga Tabung Haji #persepsi #rukun islam #syarat wajib haji #tetamu Allah #Wan Mohamad Abdul Aziz
;