Rancang sertai Isis, 3 termasuk suami isteri ditahan

Bernama
Januari 15, 2015 23:29 MYT
Rancang sertai Isis, 3 termasuk suami isteri dtahan
Tiga warga tempatan, termasuk sepasang suami isteri, ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur baru-baru ini kerana dipercayai merancang untuk menyertai kumpulan Islamic State (Isis) di Syria.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata ketiga-tiga mereka, yang berusia antara 25 tahun hingga 30 tahun itu, ditahan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman sejak 7 Januari lepas sehingga semalam.
"Suspek pertama merupakan bekas operator kilang di Lembah Klang, suspek kedua bekas penyelia sebuah kilang di Selangor manakala suspek ketiga merupakan seorang suri rumah," katanya dalam satu kenyataan.
Khalid berkata, ketiga-tiga suspek merupakan individu yang diusir dari Australia kerana menyalahgunakan visa pelancongan.
Katanya, mereka juga disyaki terlibat dalam aktiviti merekrut dan menguruskan penghantaran tiga warga tempatan lain ke Syria melalui salah sebuah negara ketiga sebelum ini.
"Kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA, kesalahan berkaitan dengan keganasan, kanun keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747)," katanya.
#ISIS #Khalid Abu Bakar