Rancang perjalanan, ada yang tersangkut empat jam di 'roadblock'

Raja Hisyam Raja Zaid
Mei 10, 2021 18:51 MYT
Kesesakan sehingga dua kilometer dikesan pada hari pertama PKP 3.0 di laluan Tol Sungai Besi menghala ke ibu kota. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Pengguna lebuh raya terutama mereka yang terpaksa merentas daerah kerana bekerja disaran supaya merancang perjalanan anda sebaik mungkin.
Berdasarkan pemerhatian Astro AWANI, sekatan jalan raya (SJR) yang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini menyebabkan kesesakan lalu lintas luar biasa terutamanya di Plaza Tol sungai Besi, di sini.
Tinjauan Astro AWANI sekitar pukul 8.30 pagi juga mendapati kenderaan yang menghala ke Kuala Lumpur melalui Tol Sungai Besi terperangkap di dalam kesesakan sehingga empat jam.
Ada sebilangan kenderaan pula mengalami kerosakan akibat kepanasan dan kehabisan petrol.
Bahkan, ada yang terpaksa merayu agar diberi kebenaran untuk berpatah balik kerana tidak lagi sanggup menempuh situasi terperangkap di dalam kesesakan dalam tempoh yang lama.
"Saya tidak sangka boleh jadi sesak sebegini lama, sebab saya hanya mengulangi rutin perjalanan ke kerja seperti sebelum ini," kata Hashim Zaid, seorang pekerja sektor swasta yang sering menggunakan laluan tersebut.
Berdasarkan tinjauan Astro AWANI juga, terdapat dua SJR di kawasan tersebut yang menyaksikan pihak berkuasa bertungkus-lumus mengawal kemasukan kenderaan ke ibu kota.
Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, kesesakan berlaku sepanjang dua kilometer antara pukul 7 hingga 10 pagi Isnin di kawasan terbabit.
Bagaimanapun, jelas beliau, aliran trafik mula lancar selepas pukul 10 pagi selain Polis Kuala Lumpur telah melonggarkan pemeriksaan, sekalipun kenderaan masih banyak di laluan berkenaan.
Dalam masa sama, Azmi menafikan terdapat dua sekatan SJR menghala ke ibu kota oleh Polis Kuala Lumpur dan Bukit Aman seperti yang didakwa.
"Setahu saya Bukit Aman tidak buat sebarang SJR. Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik PDRM ada tubuh pasukan khas meronda dengan motosikal membuat pemantauan jalan sempena Op Lancar.
"Mereka akan menasihati kita supaya melonggarkan sedikit sekatan sekiranya ada kesesakan yg teruk," kata Azmi kepada Astro AWANI.
#PDRM #Kuala Lumpur #petrol #tol #polis #Polis Diraja Malaysia #Malaysia #perintah kawalan pergerakan #PKP
;