Rampasan rokok seludup tahun lalu menurun

Afiezy Azaman
Januari 23, 2020 13:06 MYT
Timbalan Menteri Kewangan Datuk Wira Amiruddin Hamzah ketika berucap sempena Sambutan Hari Kastam Sedunia di Kompleks Kastam Kelana Jaya, Petaling Jaya, pada Khamis.
Rampasan rokok seludup oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sepanjang tahun 2019 adalah sebanyak 466.16 juta batang rokok dengan nilai cukai sebanyak RM344.95 juta.
Menurut Timbalan Menteri Kewangan Datuk Wira Amiruddin Hamzah, angka itu dilihat menurun berbanding tahun 2018 sebanyak 843.89 juta batang rokok dengan nilai cukai RM624.4 juta.
"Bagi tahun 2020, setakat semalam (Rabu) sebanyak 23.97 juta batang rokok dengan nilai cukai sebanyak RM17.37 juta telah dirampas," katanya dalam sidang media bersempena Sambutan Hari Kastam Sedunia Kali Ke-38 tahun di Kompleks Kastam Kelana Jaya, Petaling Jaya, pada Khamis.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata JKDM merekodkan keseluruhan sebanyak 5,633 kes rampasan barang pelbagai komoditi dengan nilai dan cukai berjumlah lebih RM1.9 bilion sepanjang tahun 2019.
"Manakala bagi tahun 2020, setakat dua minggu pertama pada bulan Januari sebanyak 68 kes telah direkodkan dimana melibatkan nilai dan cukai berjumlah RM49.72 juta.
Dalam sidang media yang sama, Ketua Pengarah JKDM, Datuk Paddy Abd Halim berkata tema Sambutan Hari Kastam Sedunia pada tahun ini adalah 'Kastam Memacu Kelestarian bagi kemakmuran, rakyat dan sejagat'
"Sumbangan JKDM kepada kelestarian berdasarkan tiga aspek iaitu berkhidmat kepada rakyat dengan membina masyarakat yang selamat dan terjamin, memastikan kemakmuran dengan mengurangkan halangan perdagangan serta melindungi bumi bagi memastikan kelestarian generasi akan datang," jelasnya.
Sambutan Hari Kastam Sedunia disambut pada 26 Januari setiap tahun, namun di Malaysia ia disambut lebih awal hari ini (Khamis) bagi memberi laluan kepada Sambutan Tahun Baharu Cina.
#cukai #Datuk Paddy Abd Halim #Datuk Wira Amiruddin Hamzah #Hari Kastam Sedunia #Jabatan Kastam Diraja Malaysia #JKDM #kelestarian #Ketua Pengarah JKDM #komoditi #rokok #Timbalan Menteri Kewangan
;