Rampasan rifle M16 di Rantau Panjang adalah kes terpencil

Bernama
Februari 11, 2013 18:13 MYT
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berharap rampasan selaras rifle M16 yang dirungkai dan disorokkan dalam bag untuk diseludup ke negara ini di Rantau Panjang, Kelantan oleh polis baru-baru ini sebagai kes terpencil.
Bagaimanapun Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin memandang berat kes itu kerana penyeludupan senjatapi untuk tujuan tertentu oleh sindiket atau tidak, boleh mengancam keselamatan negara.
"ATM dan polis bekerjasama menyiasat kes ini dan kesiapsiagaan ATM perlu ditingkatkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan," katanya kepada media selepas melawat pos kawalan sempadan Malaysia/Thai dari Bukit Kayu Hitam ke Wang Kelian di Perlis, hari ini.
Menyertai Zulkifeli ialah Panglima 2 Divisyen, Mej-Jeneral Datuk Azizan Md Delin dan pegawai-pegawai kanan lain ATM.
Menurut Panglima ATM itu selain bertukar maklumat risikan, tentera dan polis turut berbincang dan bekerjasama memantau pergerakan di sempadan.
ATM melancarkan Ops Wawasan di sempadan Malaysia/Thai di Perak, Kelantan, Kedah dan Perlis bermula November tahun lepas sejak mengambil-alih tanggungjawab menjaga keselamatan dari Pasukan Gerak Am, katanya.
Beliau berkata lima batalion dipertangungjawabkan menjaga kawasan sempadan tersebut dan beberapa batalion lagi boleh ditambah sekiranya keadaan memerlukan.
Katanya tanggungjawab menjaga 15 pos kawalan dari Bukit Kayu Hitam sehingga Wang Kelian yang diambil alih dari PGA diserahkan kepada Batalion Ke-4 RAMD.
"Kejayaan mereka dalam Ops Wawasan agak besar kerana ramai pendatang asing tanpa izin tertutama pelarian Rohingya dari Myanmar ditahan, penyeludupan manusia dan barangan," tambahnya.
Mengenai lawatan hari ini, Panglima ATM itu berkata beliau mengambil kesempatan tersebut untuk menerangkan insentif-insentif disediakan kerajaan kepada anggota tentera dalam bajet 2013 selain melihat sendiri kawasan operasi.
"Saya berpuas hati dengan infrastruktur di garisan sempadan dan kemudahan-kemudahan yang ada memudahkan mereka menjalankan operasi walaupun di kawasan tertentu di Perak dan Kelantan yang berbukit-bukau sangat mencabar," katanya.
Dalam perkembangan lain, Zulkifeli berkata bilangan anggota tentera yang berhenti dari perkhidmatan tanpa pencen menurun kepada 300 orang termasuk yang diberhentikan kerana tindakan tatatertib tahun lepas.
#ATM #Rantau Panjang #rifle M16 #Zulkifeli Mohd Zin
;