Rampasan kuasa Myanmar: Wisma Putra suarakan kebimbangan serius
Astro Awani
Februari 1, 2021 15:12 MYT
Februari 1, 2021 15:12 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia menyuarakan kebimbangan serius terhadap perkembangan di negara serantau, Myanmar.
Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini menggesa supaya keselamatan rakyat diutamakan menerusi dialog secara aman antara pemimpin.
“Malaysia mengulangi sokongan kuat untuk peralihan demokrasi, proses keamanan dan pembangunan ekonomi secara inklusif di Myanmar,” menurut kenyataan itu.
Malaysia menyarankan supaya tentera Myanmar serta pihak lain mengangkat prinsip kedaulatan undang-undang dan menggunakan saluran itu serta dialog untuk menyelesaikan sebarang bantahan terhadap keputusan pilihan raya pada November lalu.
Justeru, Wisma Putra menegaskan bahawa penyatuan rakyat Myanmar bergantung kepada kerjasama antara pemimpin yang perlu meneruskan rundingan secara aman, terutamanya ketika berdepan dengan pandemik ketika ini.
Kerajaan turut akan kekal menyokong kestabilan serantau sebagai tunjang pembangan ekonomi dan kemajuan bersama.
Pada masa sama, rakyat Malaysia di Myanmar dinasihatkan kekal berwaspada dan mengikuti saranan oleh pihak berkuasa tempatan.
Untuk mendapatkan bantuan konsular, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Malaysia di Yangon pada talian +95 9 772 220 230 atau e-mel embygn2021@gmail.com.
Pada Isnin, junta tentera Myanmar telah menguasai negara itu dan mengisytiharkan darurat selama setahun, menurut pengumuman Pejabat Presiden Myanmar menerusi Irrawaddy TV, stesen penyiaran milik tentera.