Rampas deposit jika gagal tanggal poster, bendera parti sebelum 3 Disember
Aida Aziz
November 27, 2022 16:58 MYT
November 27, 2022 16:58 MYT
IPOH: Semua wakil bagi calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diingatkan supaya menanggalkan bendera, poster dan kain rentang parti masing-masing sebelum 3 Disember depan.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas dengan merampas deposit pihak berkenaan jika ia tidak dilakukan.
"Perkara ini di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya, dua minggu diberikan selepas tarikh mengundi iaitu pada 19 November lalu (buka semua bendera, poster dan kain rentang parti politik).
"Jadi maknanya tarikh akhir sampai 2 Disember, iaitu sehingga Jumaat depan. Pada 3 Disember kalau tiada sebarang perubahan baru kita ambil tindakan.
"Dari pihak kita (MBI), kita akan rampas deposit mereka dan kemudian kita ambil alih kerja itu (tanggal bendera parti dan sebagainya)," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas menghadiri program Ipoh Car Free Day, di sini pada Ahad.
Seramai 1,500 warga Ipoh menyertai Ipoh Car Free Day siri ke-56 pagi tadi dengan tema Sambutan Hari Kanak-kanak Sedunia.
Dalam pada itu, Rumaizi turut meminta semua parti politik untuk mengambil maklum berhubung perkara tersebut.
"Nasihat saya kepada semua parti politik, kerana saya sudah maklumkan kepada wakil-wakil ejen calon supaya kutip segera kerana ikut undang-undang 14 hari yang berakhir pada 2 Disember ini," katanya lagi.
Tinjauan di sekitar Bandaraya Ipoh khususnya di Tambun dan Meru di sini mendapati, masih banyak bendera dan kain rentang parti politik belum ditanggalkan, malah terdapat longgokan bendera yang dibiarkan di bahu jalan.