Rampas Al-Awda: Parlimen Malaysia kecam tindakan Israel

Harits Asyraf Hasnan
Julai 31, 2018 15:19 MYT
Pada Ahad malam, MyCare mengesahkan kapal Al-Awda telah terputus hubungan komunikasi dengan pihak media FFC. Facebook MyCare
Parlimen Malaysia hari ini menyuarakan tuntutan agar 22 orang aktivis Misi Freedom Flotilla ke Gaza dibebaskan segera.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon menegaskan, Parlimen Malaysia turut mengecam sekeras-kerasnya tindakan Israel merampas kapal Al-Awda milik Freedom Flotilla Coalition (FFC) dari perairan antarabangsa pada Ahad lalu.
"Justeru, kami Ahli Parlimen Malaysia menuntut Israel supaya membebaskan serta-merta kesemua 22 ahli misi dan anak kapal Al-Awda, termasuk Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh, wakil tunggal Malaysia dalam pelayaran tersebut, selain menjamin keselamatan mereka sehingga mereka tiba di negara masing-masing.
"Kegagalan Israel berbuat demikian hanya akan mengundang kecaman dan tindakan lebih tegas warga antarabangsa," ujarnya pada sidang media di lobi Parlimen di sini.
Tambah beliau, Parlimen Malaysia sentiasa menyokong tindakan konstruktif dalam hal tersebut termasuk menggantung hubungan diplomatik, memboikot dan mengenakan sekatan, seperti mana yang pernah dikenakan ke atas rejim apartheid Afrika Selatan.
Menurutnya, tindakan Israel menghalang Al-Awda daripada belayar masuk ke Gaza dan menyekat semua akses luar ke atas Gaza adalah bertentangan dengan Konvensyen Geneva Keempat yang menegah hukuman kolektif ke atas mana-mana komuniti.
BACA: Misi Freedom Flotilla ke Genting Gaza
BACA: Kapal Al-Awda sah ditawan Israel
BACA: Malaysia bimbang keselamatan mereka atas kapal Freedom Flotilla
BACA: Ahli misi Al-Awda dipukul, direnjat dengan elektrik
Pada Ahad malam, Humanitarian Care Malaysia (MyCare) mengesahkan kapal Al-Awda telah terputus hubungan komunikasi dengan pihak media FFC.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MyCare, Kamarul Zaman Shaharul Anwar, dalam laporan terakhir diterima daripada radio kapal itu, pegawai memerintah kapal itu berkata empat kapal perang Israel dilihat mendekati kapal itu.
"Kami terputus hubungan dengan kapal itu pada 7.15 malam (waktu Malaysia) (1.15 tengah hari waktu Gaza) apabila kapal berada pada kedudukan kurang 49 batu nautika dari Gaza," katanya.
#Dewan Rakyat #Freedom Flotilla #Gaza #Israel #Malaysia #Mohd Rashid Hasnon #Parlimen #putus hubungan #rampas
;