Ramli Sarip & 'Surat Cinta Kuala Lumpur' meriahkan KLWBC 2020

Zainal Rashid Ahmad
April 21, 2020 08:23 MYT
Ramli Sarip yang sudah lebih empat dekad mewarnai dunia muzik Malaysia, berbangga diberi peluang mengubah dan menyanyikan lagu tema KLWBC 2020.
BAGI peminat muzik, kehadiran Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia (KLWBC) 2020, pasti dinantikan untuk menikmati sentuhan emas Papa Rock, Datuk Ramli Sarip.
Acara perasmian KLWBC 2020 akan dilancarkan secara atas talian melalui Facebook Page KL Baca, Instagram rasmi @kualalumpurwbc dan Twitter @KualaLumpurWBC pada jam 12 tengahari, 23 April ini.
Kuala Lumpur secara rasmi akan menjadi Ibu Kota Buku Dunia ke 20 hingga 22 April 2021. Hal sebagai hos ini diisytiharkan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Warisan PBB (UNESCO) pada 2018.
Sebagai komposer, Ramli Sarip yang sudah lebih empat dekad mewarnai dunia muzik Malaysia dengan lebih 300 lagu gubahannya, berbangga diberi peluang mengubah dan menyanyikan lagu tema KLWBC 2020.
Gabungan muzik funky, raggae, pop, entik dan blues mewarnai lagu tema yang berjudul 'Surat Cinta Kuala Lumpur'.
Kata cinta yang menjadi kunci lirik lagu tema ini diangkat berdasarkan naratif KLWBC 2020 yang mendokong elemen #caringthroughreading.
Tanda pagar ini turut berteraskan pada falsafah KLWBC 2020: 'Menyantuni Masyarakat Melalui Pembacaan'.
KLWBC 2020 dengan tema kasih-sayang, kemasyarakatan melalui pembacaan dan kemanusiaan sejagat, tampil tepat pada masanya.
Ketika dunia memerlukan kekuatan baharu yang energetik dan berdaya global bagi menggerakkan manusia sejagat menghadapi pendemik Covid-19, KLWBC 2020 menawarkan pengukuhan idea melalui pembacaan.
Walaupun Covid-19 menjejaskan perancangan awal KLWBC 2020 dengan lebih 300 yang dijadualkan, namun KLWBC 2020 mampu mengukuhkan kewujudannya secara fleksibel.
Dunia memerlukan KLWBC 2020 sebagai antara teras utama membangunkan kembali normal baharu setelah 7 bilion penduduk dunia terkesan akibat wabak Covid-19.
Lagu tema Ramli Sarip yang sarat dengan elemen 'bacalah' serta naratif 'suara hati' Kuala Lumpur akan menafsir kebangkitan dunia melalui #caringthroughreading.
Eleman solidariti ini mampu membantu Malaysia dan dunia untuk bersatu menghadapi pelbagai cabaran semasa dan mendatang.
Ramli Sarip sendiri tidak menyangka lagu yang ditulis dan dirakamkan pada Disember tahun lalu - kini menemukan maknanya yang lebih meluas dan relevan.
"Saya pilih mood yang lebih soul dan bertenaga, kerana mahukan semangat membaca itu muncul sebagai alat kekuatan minda dan kejiwaan manusia," katanya ketika diwawancara melalui aplikasi WhatsApp.
Pada 23 April ini, lagu 'Surat Cinta Kuala Lumpur' akan dimuat naik ke semua platform media sosial KLWBC 2020.
Antara bait liriknya: "Bacalah kekasih isi hatiku Kata demi kata antara buku ke buku Dengarlah kekasih suara hatiku Surat cinta Kuala Lumpur."
Pelancaran lagu ini antara kemuncak majlis perasmian Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia ke 20.
BACA: Pelancaran Kuala Lumpur Ibu Kota Buku Dunia 2020
Acara pelancaran digital KLWBC 2020 akan dimulakan dengan ucapan Ketua Pengarah UNESCO, Audrey Azoulay dari Paris, Perancis.
Seterusnya diikuti ucapan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham A Dahlan selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk KLWBC 2020.
Ramli Sarip yakin, melalui muzik, budaya menanamkan minat membaca akan lebih membugar terutama menyedarkan generasi muda bahawa buku ialah sumber penggalian ilmu.
"Saya membaca buku, malah mengumpulkan buku-buku yang memberikan aspirasi kepada saya sebagai seniman," katanya.
Selain itu, pelakon dan pengarah terkenal Adlin Aman Ramli akan tampil mempersembahkan karya Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said berjudul 'Merindui Buku'.
#Ibu Kota Buku Dunia #KLWBC #Kuala Lumpur #Papa Rock #Pertubuhan Pendidikan Sains dan Warisan PBB #Ramli Sarip #solidariti #Surat Cinta Kuala Lumpur' #Unesco
;