Ramkarpal sahkan terima arahan Anwar mulakan saman terhadap Yusoff Rawther

Khairunnisa Kasnoon
Januari 17, 2020 21:07 MYT
Ramkarpal berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan, jelas menunjukkan ia tidak cukup bukti untuk mengambil pendakwaan dalam kes yang dilaporkan oleh Muhammed Yusoff. - Gambar fail/BERNAMA
Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ramkarpal Singh mengesahkan menerima arahan daripada Presiden PKR itu untuk memulakan saman fitnah terhadap Muhammad Yusoff Rawther berkenaan kandungan perisytiharan berkanun (SD) yang dibuat olehnya pada 19 November tahun lalu.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Ramkarpal berkata, berdasarkan siasatan yang dijalankan, jelas menunjukkan ia tidak cukup bukti untuk mengambil pendakwaan dalam kes yang dilaporkan oleh Muhammed Yusoff.
“Dengan ini saya mengesahkan bahawa saya telah menerima arahan daripada Datuk Seri Anwar Ibrahim beberapa hari lalu untuk memulakan saman fithnah terhadap Muhammad Yusoff Rawther berkenaan kandungan perisytiharan berkanun yang dibuat beliau pada 19.11.2019,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Tambahnya, beliau akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memfailkan saman fitnah tersebut pada minggu hadapan.
Pada 14 Januari lalu, Jabatan Peguam Negara berkata, wujud percanggahan fakta material yang tidak dapat menyokong sebarang pendakwaan terhadap mana-mana individu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan atau mana-mana seksyen lain mengikut kanun sama.
BACA: Tutup kes! Bukti kes serangan seksual ahli politik ternama tidak cukup - AGC
BACA: "Mahu saman saya? Bring it on..." - Yusof Rawther
Selain itu, pihaknya juga mendapati tidak ada cukup keterangan untuk membuat pertuduhan mengenai laporan polis yang dibuat berdasarkan keterangan yang ada dalam kertas siasatan, sekali gus bersetuju dengan saranan Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya kes itu ditutup.
#Anwar Ibrahim #Jabatan Peguam Negara #Karpal Singh #PDRM #PKR #saman #Seksyen 354 Kanun Keseksaan #Yusoff Rawther
;