Ramesh Rao mengaku tidak bersalah buat hantaran Twitter bersifat jelik

Abd Razak Mohd Ali
Februari 10, 2021 13:05 MYT
Ramesh (kiri) hadir bersama peguamnya, Shamsher Singh di Mahkamah Sesyen di Taiping hari ini, atas pertuduhan membuat hantaran Twitter bersifat jelik pada Julai tahun lepas. - Foto BERNAMA
TAIPING: Presiden Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin Malaysia, K. N. Ramesh Rao didakwa di Mahkamah Sesyen Taiping pada Rabu atas tuduhan membuat hantaran komunikasi jelik menerusi akaun Twitter miliknya, tahun lalu.
Ramesh Rao, 50, selaku Orang Kena Saman (OKS) bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Zulhelmy Hassan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu melalui Twitter dengan menggunakan laman profil 'RameshRaoAKS' pada jam 12.58 tengahari, 28 Julai 2020.
Pautan itu kemudiannya dibaca pada pukul 8 malam di Taman Desa Trong Utama, Trong, Taiping, pada hari sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Sariza Ismail manakala Ramesh Rao diwakili peguam, Shamsher Singh Thind.
Terdahulu, Sariza menawarkan ikat jamin sebanyak RM10,000 ke atas OKS namun Shamsher memohon jumlah jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000 atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik dan menghormati sistem kehakiman dengan hadir ke mahkamah.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Mac ini untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Media sebelum ini melaporkan, Ramesh Rao menerusi ciapan di Twitter mendakwa Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali yang mensabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan tujuh kesalahan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram adalah cucu saudara kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Satu laporan polis kemudiannya dibuat seorang ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Afzanizam Abdul Rahman di Taiping berhubung ciapan berkenaan.
#Twitter #saman #mahkamah #PMSP #Ramesh Rao #hantaran #jelik #menyakitkan hati #Najib Razak #Mahathir Mohamad #PPBM #Mahkamah Sesyen
;