Ramasamy sudah bayar Zakir Naik RM1.52 juta

Sinar Harian
Disember 1, 2023 16:08 MYT
Pada 2 November lalu, mahkamah memerintahkan Ramasamy membayar jumlah itu kepada Zakir dalam masa 30 hari. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pihak Dr Zakir Naik memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini pada Jumaat bahawa bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy telah membayar RM1.52 juta ganti rugi kerana memfitnah penceramah dari India itu, empat tahun lalu.
Semasa prosiding di hadapan Hakim, Hayatul Akmar Abdul Aziz, peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Zakir berkata, wang berkenaan telah dimasukkan ke akaun peguam cara pada 17 November.
Pada 2 November lalu, mahkamah memerintahkan Ramasamy membayar jumlah itu kepada Zakir dalam masa 30 hari.
Mahkamah memutuskan demikian selepas mendapati Zakir selaku plaintif berjaya memenuhi tiga elemen fitnah yang dilemparkan bekas pemimpin DAP itu.
Ramasamy selaku defendan perlu membayar ganti rugi am sebanyak RM200,000 untuk setiap penyata fitnah (jumlah RM1 juta), ganti rugi teladan RM50,000 setiap satu penyata (RM250,000), ganti rugi teruk RM20,000 setiap penyata (RM100,000) dengan kos sebanyak RM70,000.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Ramasamy untuk menangguhkan permohonan maaf kepada Zakir dan menetapkan pada Jumaat untuk prosiding pendengaran berhubung isu terbabit.
Susulan itu, Ramasamy memulakan kempen pendanaan awam atau ‘crowdfunding’ bagi mengumpulkan wang terbabit.
Pada 9 November lalu, ahli politik itu menyampaikan ucapan penghargaan menerusi laman Facebook setelah wang berkenaan berjaya dikumpulkan.
Beliau berterima kasih kepada orang ramai yang memberi sokongan padu terhadap dirinya dengan menyertakan tanda pagar, #SolidarityWithProfRama.
Dalam pada itu, semasa prosiding, peguam, Razlan Hadri yang mewakili Ramasamy berkata, anak guamnya telah menarik balik penangguhan permohonan maaf.
Beliau turut mengesahkan penarikan itu dibuat selepas persetujuan dicapai bagi pihak plaintif dan defendan.
“Kedua-dua pihak juga bersetuju bahawa penarikan balik itu dibuat tanpa perintah berhubung kos,” katanya.
Pada Oktober dan Disember 2019, Zakir memfailkan dua saman berasingan mendakwa Ramasamy mengeluarkan lima kenyataan memfitnahnya.
Dalam pernyataan tuntutan, penceramah kontroversi itu mendakwa Ramasamy memfitnahnya pada 10 April 2016, dengan memanggilnya 'syaitan' dalam laman Facebook.
Zakir yang bertaraf Penduduk Tetap berkata, Ramasamy memfitnahnya dalam satu lagi kenyataan disiarkan portal berita pada 1 Oktober 2017, dengan mendakwa Malaysia melindungi sebagaimana yang didakwanya pelarian dari India.
Beliau juga mendakwa pada 11 Ogos 2019, Ramasamy memanipulasi ucapan dibuatnya pada satu majlis anjuran Kerajaan Kelantan, diterbitkan portal berita, pada hari sama.
Pada 20 Ogos 2019, Ramasamy sekali lagi dikatakan memfitnah Zakir dalam kenyataan mengandungi kebencian.
Saman kedua Zakir dibuat kerana mendakwa Ramasamy memfitnahnya apabila mengulas berhubung kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang disiarkan portal berita pada 8 November 2019. - Sinar Harian
#P Ramasamy #Dr Zakir Naik #jumlah ganti rugi #permohonan maaf
;