Ramanan terima darjah kebesaran Pahang bawa gelaran Datuk Seri

Bernama
September 12, 2024 18:31 MYT
Sultan Pagang berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia - Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang kepada Ramanan pada istiadat hari ini. - Foto Bernama
KUANTAN: Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan hari ini dikurniakan Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah Pahang Yang Amat Di Mulia - Peringkat Pertama Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.
Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menganugerahkan darjah kebesaran itu sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-65 baginda di Balai Mahkota Istana Abdulaziz di sini hari ini.
Ketika ditemui media, Ramanan yang juga antara 27 penerima darjah kebesaran pada istiadat itu, merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Sultan Pahang atas pengurniaan darjah kebesaran SSAP dan amat menghargainya.
"Hari ini berlangsung upacara pengurniaan darjah kebesaran ... Ampun Tuanku, patik merafak sembah menjunjung kasih atas limpah perkenan Tuanku menganugerahkan patik Darjah Kebesaran Sri Sultan Ahmad Shah (SSAP) Pahang pada Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Pahang Sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan ke-65 Sultan Pahang," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas istiadat berkenaan di pekarangan Istana Abdulaziz di sini hari ini.
Ramanan, 43, dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pada rombakan Kabinet pada Dis 2023 dan beliau juga dikenali sebagai individu yang begitu komited dalam agenda memperkasakan ekonomi rakyat negara ini termasuk komuniti India selari dengan visi dan misi kerajaan MADANI menerusi pelbagai inisiatif yang direncanakan.
Bagi tujuan itu, Ahli Parlimen Sungai Buloh yang juga Timbalan Ketua Penerangan 1 Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini telah mengusahakan tiga inisiatif khas mempertingkatkan komuniti ekonomi usahawan India di negara ini dalam tempoh masa lapan bulan sebaik dilantik menggalas tanggungjawab berkenaan.
Inisiatif khas itu ialah Skim Pembiayaan Pemerkasaan (SPUMI) Goes Big melalui Tekun Nasional yang memperuntukkan dana sebanyak RM30 juta dan Prosperity, Empowerment and A New Normal (PENN) di bawah Amanah Ikthiar Malaysia khusus untuk pemerkasaan wanita India sebanyak RM50 juta serta Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i).
"Sudah tentu, kalau kita lihat pembangunan komuniti India sekarang sangat bagus (dan) kita ada banyak inisiatif (yang telah digerakkan). (Biarpun begitu ada) banyak lagi yang kita perlu buat tetapi setakat ini memang kita boleh nampak kerajaan MADANI telah melaksanakan banyak program (buat komuniti itu).
"(Antaranya) pembiayaan, bantuan untuk komuniti mengembangkan perniagaan mereka melalui ekonomi. Kita juga melihat, kalau dari segi sebelum ini, kita lihat daripada MITRA (Unit Transformasi Masyarakat India) yang menjalankan program kebajikan seperti perubatan, bantuan pendidikan, so memang ia all-rounded effect bukan sahaja ekonomi," katanya.
Komitmen anak kelahiran Kuala Lumpur ini dalam memperkasakan komuniti masyarakat India juga begitu terserlah apabila beliau sebelum ini ialah Pengerusi Jawatankuasa Khas MITRA dan telah melaksanakan amanah itu dengan amat berkesan.
Ini termasuk berjaya memanfaatkan sebaiknya dana sebanyak RM100 juta yang diperuntukkan kepada MITRA menerusi Belanjawan 2023 untuk pelbagai inisiatif pembangunan serta program sosioekonomi pemerkasaaan komuniti India buat julung kali yang telah memanfaatkan lebih 100,000 orang.
Tidak sekadar itu, bahkan perjuangan di bawah kepimpinan Ramanan, MITRA juga akhirnya berjaya menerima pemakluman rasmi status penarafan semula risiko untuk 2023 bagi unit dikategorikan sebagai risiko 'Rendah' oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Beliau juga berjaya membersihkan imej badan itu hanya dalam tempoh lima bulan melalui kepimpinan tegasnya serta melaksanakan pelbagai penambahbaikan yang drastik untuk mengembalikan semula keyakinan masyarakat India terhadap MITRA.
-- BERNAMA
#Sultan Pahang #r ramanan #ulang tahun hari keputeraan #membawa gelaran Datuk Seri
;