Ramalan cuaca signifikan dengan luruan angin timuran hingga 17 Januari - MetMalaysia
Bernama
Januari 14, 2024 18:45 MYT
Januari 14, 2024 18:45 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan cuaca signifikan dengan luruan angin timuran berlaku hingga 17 Jan ini.
Dalan kenyataan petang ini, MetMalaysia memaklumkan keadaan itu boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di Sarawak dan timur Sabah, selain angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh berkenaan.
"Pada masa sama, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam di Sabah dan Sarawak," menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, MetMalaysia turut mengeluarkan amaran angin kencang dan laut bergelora berkuat kuasa hari ini hingga Rabu depan melibatkan Condore dan Reef North yang berada pada kategori kedua.
Amaran kategori pertama pula melibatkan pulau Tioman di Pahang, pulau Layang-Layang dan Sulu di Sabah, Labuan, Palawan (di Filipina), Samui (di Thailand) dan Bunguran (di Indonesia) untuk tempoh sama.
Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman sesawang www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia atau memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih.
-- BERNAMA