"Ramai yang mimpi adik sebelum pemergiannya" - Kakak Naib Ketua Armada Kota Tinggi

Ernalisa Othman
Disember 11, 2020 22:10 MYT
Mayat Mohd Zulfikrie ditemui di kawasan berbatu menghala ke Tanjung Lompat kira-kira pukul 3 petang tadi. - Gambar fail
KOTA TINGGI: Kakak sulung kepada Naib Ketua Armada Bersatu Kota Tinggi Mohd Zulfikrie Buang yang ditemui lemas petang tad, menzahirkan rasa terkejut apabila ramai yang memberitahu bahawa mereka telah bermimpikan Allahyarham adiknya sebelum pemergiannya.
Nur Azifah Buang, 29 tahun, memberitahu selain rakan terdekat, ibu angkat adik-beradik itu yang berada di Batu Pahat juga memaklumkan perkara yang sama dua hari sebelum kejadian.
“Orang yang rapat dengan Allahyarham, sepupu, mak angkat dan umi saya mimpi tentangnya. Ramai yang mimpi tentangnya.
“Mereka bermimpi dia senyum. Mak angkat kita mimpi dia ingin minum air sedap, insya-Allah dia dapat minum air di syurga,” katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.
Sementara itu majikan kepada Allahyarham, Mohd Nizam Osman juga tidak menyangka mimpinya melihat ramai orang di kawasan kerja Zulfikrie merupakan tanda pemergian arwah.
Nizam turut memberitahu, Zulfikrie juga kelihatan kerap berhenti rehat ketika melakukan kerja berbanding hari-hari sebelumnya.
“Dalam kawasan kerja Tanjung Balau, banyak sangat kereta dan ramai orang. Saya terfikir ada apa yang terjadi.
“Inilah tandanya jujur... Allahyarham lemah lembut walaupun marah dengan pelanggan dan sangat menyenangkan,” kata Mohd Nizam.
Allahyarham Zulkifrie jatuh tergelincir ke dalam laut semasa membaiki kerosakan di Jeti Tanjung Balau, Bandar Penawar Kota Tinggi dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teluk Sengat selepas solat isyak setelah disembahyangkan di Masjid Almustaqim malam tadi.
Mayat Allahyarham ditemukan pada pukul 3 petang tadi di kawasan berbatu menghala ke Tanjung Lompat kira kira 500 meter dari tempat kejadian setelah tiba-tiba tergelincir jatuh dari kerangka besi ke dalam laut pada pukul 5.05 petang Khamis.
#Mohd Zulfikrie Buang #kakak #Nur Azifah Buang #Kota Tinggi #Mimpi #Mohd Nizam Osman #Jeti Tanjung Balau Bandar Penawar Kota Tinggi #Tanjung Lompat
;