Ramai yang layak belum daftar Budi Madani MySubsidi diesel - Fuziah
Bernama
Ogos 4, 2024 16:12 MYT
Ogos 4, 2024 16:12 MYT
KUANTAN: Bilangan kenderaan yang mendaftar bagi mendapatkan Bantuan Subsidi Madani (Budi Madani) MySubsidi Diesel masih tidak memuaskan.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata berdasarkan data terkini hanya 259,141 daripada 410,000 kenderaan yang layak sudah memohon di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) setakat pagi Ahad.
"Rata-rata para peniaga sama ada yang menggunakan van, trak pikap, lori satu atau tiga tan didapati belum mendaftar dengan MySubsidi Diesel.
"Antara faktornya disebabkan mereka terlalu sibuk berniaga, permohonan ditolak, mengharapkan bantuan orang lain untuk memohon atau sudah mendaftar tetapi belum menerima fleet card," katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Budi Madani Bersama Peniaga dan Pengunjung di Pasar Tani di sini hari ini.
Fuziah berkata bagi kategori individu juga hanya 100,000 kenderaan mendaftar berbanding 300,000 kenderaan yang layak memohon.
Beliau berkata bagi menyelesaikan masalah itu, pihaknya akan membuka lebih banyak kaunter bantuan (outreach) di lokasi strategik bagi memudahkan orang ramai mendaftar Budi MySubsidi Diesel, Budi Madani dan Budi Agri-Komoditi di samping datang ke pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri.
"Dengan adanya kaunter outreach ia akan memudahkan dan mengelakkan mereka tidak jadi untuk mendaftar selain dapat berkomunikasi secara dua hala jika terdapat masalah," katanya.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 24,154 pemeriksaan dijalankan di seluruh negara sejak pelaksanaan Ops Kesan 2.0 dan sebanyak 244 Notis Bertulis di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP) dikeluarkan kepada peniaga.
-- BERNAMA