Ramai wanita keluar dari dunia pekerjaan disebabkan cabaran peribadi

Astro Awani
Mac 8, 2022 17:07 MYT
Kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita masih rendah, iaitu 55.3 peratus pada 2020 jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Singapura (69.7 peratus) dan Thailand (66.8 peratus). - Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR: Ramai wanita ingin masuk ke sektor pekerjaan namun apabila mereka mahu memulakan keluarga, ramai yang memilih untuk berhenti kerja.
Pengasas Gig X Global, Shareen Abdul Ghani berkata, jumlah wanita ke universiti juga dilihat meningkat dalam tiga atau empat tahun kebelakangan dengan lebih 60 peratus wanita menyambung pengajian mereka.
Jelasnya, jumlah itu menunjukkan mereka merancang dan bersedia untuk memasuki sektor pekerjaan namun tidak lama selepas itu mereka keluar (dari bidang kerja) kerana cabaran peribadi.
BACA: Wanita Adalah Rakyat terjemahan solidariti wanita
“Lebih kurang lima juta wanita tidak berada dalam sektor pekerjaan dan trend ini sangat membimbangkan kerana kita lihat dari masa ke masa, ia tidak bertambah baik.
“Jadi, usaha sekarang adalah untuk menumpukan bagaimana menarik balik wanita masuk ke dalam sektor pekerjaan secara formal.
“Tapi di luar sektor pekerjaan pula, bolehkah kita bantu wanita-wanita ini untuk mendapatkan punca pendapatan dalam perniagaan kecil. Pada saya, ada banyak dimensi yang boleh diperhalusi dalam isu berkenaan,” katanya ketika bersiaran langsung di Buletin AWANI pada Selasa.
Mesej Wan Azizah sempena Hari Wanita Sedunia di Dewan Rakyat
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun pada Selasa berkata, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita masih rendah, iaitu 55.3 peratus pada 2020.
Menurutnya, angka itu lebih rendah jika dibandingkan dengan negara jiran seperti Singapura (69.7 peratus) dan Thailand (66.8 peratus).
Jelasnya, KPTB wanita bagi negara membangun melebihi 60 peratus. Penguasaan politik mencatat skor terendah, iaitu 0.100 yang menunjukkan wanita masih jauh ketinggalan berbanding lelaki dalam jawatan menteri dan Ahli Parlimen.
Tambah beliau, berdasarkan Indeks Jurang Gender Malaysia (MGGI) 2020, pencapaian wanita melebihi lelaki dalam subindeks Pencapaian Pendidikan dengan skor 1.059.
Katanya lagi, Subindeks Kesihatan dan Kehidupan mencatatkan skor 0.956, diikuti Subindeks Peluang dan Penyertaan Ekonomi (0.738).
Hari Wanita | Cabaran dan realiti wanita berkeluarga untuk kembali bekerja
#Saksama Bersama #hari wanita sedunia #sektor buruh #dunia pekerjaan
;