Ramai puji Uncle Sim, anggap beliau sempoi dan 'cool'
Syafique Shuib
Julai 17, 2014 08:30 MYT
Julai 17, 2014 08:30 MYT
Ramai memuji sikap pesara kerajaan Sim Siak Heong, 68, yang memutuskan untuk tidak membuat laporan berhubung kejadian dibuli seorang pemandu wanita di parkir kenderaan bangunan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan.
Keputusan Siak Heong untuk memaafkan 'pembuli' dan berjanji untuk tidak mengambil sebarang tindakan susulan menyentuh hati pengikut Astro AWANI di Facebook.
Ramai yang berkata yang 'Uncle Sim' begitu cool dan sempoi.
"Bila lihat video tu balik semula, perempuan itu marah bagai terkena sawan. Uncle ini tenang dan sabar sahaja dengan kerenah minah gangster itu. Sangat mengagumi keperibadian Uncle ini. Susah nak cari manusia macam Uncle ini," tulis Izzaty Saberi.
Ada yang mengingati anak-anak muda untuk menghormati orang yang lebih tua.
"Walaupun apa bangsa, hormati orang yang lebih tua. Ingatlah andai dia ayah kamu diperlaku sedemikian, apa perasaan kamu," kongsi pengguna Facebook yang dikenali sebagai Dyg Maspura Awg Kipli.
Hisham Idris berkata banyak pengajaran yang dapat daripada kejadian ini.
"Banyakkan bersabar dan belajar menghormati orang yang lebih tua, tak kira bangsa," kongsi beliau.
Ashwar Aziz pula ingin nombor akaun bank Siak Heong untuk membantu dengan kos membaiki keretanya.
"Uncle Sim, saya hormati anda. Kasi nombor akaun bank untuk membantu memperbaiki kereta anda. Bangsa, agama atau politik tiada kaitan di sini. Kami menyokong anda kerana kesabaran anda dan anda telah mengajar kita untuk menghormati orang yang lebih tua seperti anda," tulis Ashwar.
Siak Heong dan isterinya masih trauma dengan kejadian itu, keputusannya untuk tidak mengambil tindakan itu adalah berdasarkan kepada ajaran agamanya yang meminta seseorang itu tidak berbalas dendam serta menyusahkan orang lain.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas memberi keterangan di Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, Pahang.
Klik di sini untuk membaca komen-komen pembaca lain yang tertera di Facebook Astro AWANI.