Ramai pengguna tidak tahu, kurang yakin berita cacing dalam tin sardin
Bernama
Jun 28, 2018 21:38 MYT
Jun 28, 2018 21:38 MYT
Meskipun isu penemuan cacing dalam produk sardin dalam tin yang dimport dari China telah diuar-uarkan di media sosial dan media arus perdana namun masih ramai peniaga mahupun pengguna tidak tahu atau kurang yakin dengan berita yang tersebar berkenaan.
Walaupun Kementerian Kesihatan mengesahkan dua jenama makanan sardin dalam tin yang dikesan mengandungi cacing baru-baru ini, namum tinjauan Bernama di beberapa kedai runcit di sekitar Kota Kinabalu mendapati peniaga dan pengguna berbeza pandangan mengenai isu berkenaan.
Bagi peniaga yang belum mengetahui berita mengenai isu cacing dalam tin sardin, mereka bertegas akan terus menjual produk itu kerana mendakwa ia telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan selain mempunyai logo 'halal' pada tin sardin itu.
Bagi peniaga yang mengetahui perkara itu, mereka terkejut kerana tidak menyangka sardin jualan mereka selama ini mengandungi bendasing berkenaan.
Seorang peniaga, Norsiah Ahmad, 35, berkata beliau hanya mengetahui isu berkaitan cacing tetapi tidak menyangka ia melibatkan produk yang terdapat di premis jualannya yang terletak di Jalan Sinsuran, di sini.
"Saya hanya mengetahui perkara itu pagi tadi dan sekarang ini saya merasa amat kecewa dan sudah pasti akan mengalami kerugian," katanya ketika ditemui Bernama, hari ini.
Katanya, sebagai seorang peniaga runcit secara kecil-kecilan penarikan produk itu dari pasaran akan menjejaskan sumber pendapatannya.
Seorang pengguna, Romiah Taboyu, 57, pula berkata beliau tidak mempercayai berita itu walaupun telah mengetahui berita berkenaan selepas tular di aplikasi WhatsApp.
"Susah juga hendak percaya sebab tular di media sosial. Semalam Mak Cik beli dua tin ikan sardin lagi untuk bekalan anak-anak di rumah," katanya.
Seorang lagi penggemar sardin, Siti Ampasok, 23, pelajar sebuah kolej swasta, berkata beliau sangat gemar membeli produk sardin dalam tin untuk menjimatkan kos.
"Sejak masuk asrama ikan sardin dalam tin menjadi kegemaran saya dan menjadi hidangan sekurang-kurangnya dua kali seminggu", katanya yang berasal Keningau.
Semalam, Kementerian Kesihatan telah mengarahkan syarikat yang terlibat menarik balik produk berkenaan dari pasaran dan pemantauan akan terus dijalankan terhadap produk ikan dalam tin (sardin dan mackerel) yang diimport serta pasaran tempatan.
Jenama sardin yang didedahkan oleh kementerian berkenaan dikesan dan disyaki mengandungi bendasing iaitu cacing Filum Nematoda daripada Genus Anisakis spp.
-- BERNAMA