Ramai pembeli senjata tanpa lesen di Manjung akan tertangkap - Polis

Bernama
Disember 21, 2018 09:30 MYT
Chong (tiga, kiri) menunjukkan senapang dan peluru yang dirampas pada sidang media di Lumut, 20 Dis, 2018. --fotoBERNAMA
Polis daerah Manjung percaya lebih ramai pembeli senjata tanpa lesen akan tertangkap susulan penahanan seorang lelaki dipercayai pembuat dan penjual senapang patah di sini, Selasa lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung DSP Chong Boo Khim berkata suspek berumur 52 tahun itu ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Gunung Tunggal, Changkat Keruing, di sini, kira-kira pukul 3.10 petang.
Chong berkata pemeriksaan lanjut di kediaman suspek yang merupakan seorang mekanik enjin bot sangkut bagaimanapun tidak menemukan barangan yang menyalahi undang-undang.
"Namun, pemeriksaan di bengkel membaiki enjin milik suspek berjaya menemukan selaras senapang panjang telah diubahsuai disyaki menjadi senapang patah buatan sendiri sepanjang 118 sentimeter yang disembunyikan di tepi dinding.
"Melalui maklumat yang kita dapat suspek dipercayai membuat dan menjual senapang patah di sekitar Pantai Remis kepada individu yang berminat khususnya bagi tujuan memburu," katanya dalam sidang media di sini pada Khamis.
Dalam pada itu, Chong berkata seorang rakan lelaki suspek berumur 41 tahun ditahan dalam serbuan di rumahnya di Sitiawan kira-kira pukul 6.30 petang, hari yang sama.
Menurutnya, suspek yang tidak bekerja menyerahkan sendiri senapang patah hadiah suspek pertama kepada pihak polis yang kemudian membuat pemeriksaan lanjut dan menemukan 154 butir peluru hidup serta sejumlah kelongsong peluru.
Chong berkata kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau, ujian saringan air kencing negatif dadah dan mereka direman enam hari mulai Selasa bagi membantu siasatan di bawah Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Dalam kes berasingan, Chong berkata pihaknya sedang mengesan tiga lelaki yang masih bebas selepas dipercayai terlibat dalam kes samun berkawan di sebuah bengkel kereta berhampiran ladang kelapa sawit di Ayer Tawar di sini, Selasa lalu.
Katanya dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, lima individu memperkenalkan diri sebagai anggota polis dengan membawa kayu hoki, batang besi dan parang panjang sebelum masuk ke dalam kabin penginapan pekerja.
"Mereka kemudian mengambil tujuh telefon bimbit serta sejumlah wang milik pekerja kemudian melarikan diri ke arah jalan besar sebelum salah seorang daripadanya berjaya ditangkap beberapa pekerja bengkel itu.
"Empat lagi suspek melarikan diri menaiki dua kereta Proton Saga BLM berwarna 'maroon' dan Perodua Kancil warna putih.
"Seorang kemudiannya berjaya ditahan pihak polis di tepi jalan pada hari sama, dan tiga masih bebas," katanya sambil menambah kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan menggunakan senjata.
-- BERNAMA
#Changkat Keruing #Chong Boo Khim #lesen #manjung #polis #reman #samun #senapang patah #senjata #suspek #tangkapan #undang-undang
;