Ramai PATI warga Pakistan, India masuk ke Malaysia melalui Thailand
Sinar Harian
September 19, 2023 17:18 MYT
September 19, 2023 17:18 MYT
TUMPAT: Jabatan Imigresen Malaysia mendapati ramai pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Pakisan dan India memasuki negara ini melalui Thailand dengan menyeberangi Sungai Golok secara haram.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, kebanyakan warga India dan Pakistan itu masuk ke negara ini disyaki untuk bekerja.
Menurutnya, sebaik tiba di negara ini mereka akan dibawa ke lokasi tertentu yang sudah diaturkan.
"Bagaimanapun kita sedang menyiasat sama ada kumpulan ini datang melalui ejen atau sindiket," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengikuti Program Lawatan Kerja Ketua Pengarah Imigresen di Kompleks ICQS Pengkalan Kubor pada Selasa.
Hadir sama, Pengarah Imigresen Kelantan, Azhar Abd Hamid dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun.
Dalam pada itu, Ruslin berkata, berdasarkan temuduga di lapangan terbang mendapati kebanyakan mereka mendakwa datang ke negara ini untuk melancong.
"Bagaimanapun jawapan mereka meragukan kerana gagal menyatakan hotel mana mereka mahu pergi dan tidak memberitahu lokasi pelancongan yang dituju," katanya.
Jelas beliau, warga India dan Pakistan itu juga tahu permohonan visa pelancong di Malaysia agak sukar dan perlu melalui beberapa proses termasuk temuduga.
Justeru, katanya, untuk lebih senang mereka memilih melalui Thailand sebelum menyelinap masuk ke negara ini menerusi pangkalan haram di Sungai Golok.
Media sebelum ini melaporkan sindiket penyeludupan manusia yang menjadikan sebuah hotel bajet di sini sebagai rumah transit PATI dalam Op Gelombang V, 13 September lalu.
Dalam serbuan itu, pasukan serbuan menahan seramai 51 PATI membabitkan 39 lelaki dan empat wanita warga India, dua lelaki Pakistan serta dua wanita, empat kanak-kanak lelaki warga Thailand berusia dua hingga 60 tahun.
Turut ditahan, lima ahli sindiket yang juga warga tempatan terdiri daripada pemilik hotel bajet, dua penjaga premis dan dua transporter berusia 23 hingga 57 tahun. - Sinar Harian