Ramai masih guna kaedah kurang tepat asing sisa pepejal - Rahman Dahlan

T K Letchumy Tamboo
Julai 19, 2015 15:40 MYT
Walaupun rakyat Malaysia sudah mula menyedari tentang pengasingan sisa pepejal, namun masih ada yang menggunakan kaedah yang kurang tepat untuk melakukannya, kata Datuk Abdul Rahman Dahlan.
Walaupun rakyat Malaysia sudah mula menyedari tentang pengasingan sisa pepejal, namun masih ada yang menggunakan kaedah yang kurang tepat untuk melakukannya.
Ini adalah kenyataan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang berkata ramai di antara mereka yang mengamalkan pengasingan sisa pepejal, memasukkan kesemua bahan yang boleh dikitar semula ke dalam satu plastik sebelum membuangnya, manakala sisa makanan di masukkan ke dalam satu plastik lagi.
Abdul Rahman berkata bahan kita semula yang dimasukkan di dalam satu plastik itu, masih boleh lagi diasingkan kepada kertas, plastik dan lain-lain termasuk kaca dan tin.
“Di bawah negeri-negeri yang mengamalkan Akta 672, Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam 2007, kita telah pun mengamalkan kaedah 2+1 untuk memungut sampah setiap minggu.
Bermakna dua kali kita akan mengangkut sisa dapur, dan sekali untuk bahan-bahan yang boleh dikitar semua.
“Ini telah kita buat sejak tahun lepas dan ia telah berjalan dengan baik. Tetapi kita minta supaya langkah seterusnya dilakukan iaitu, apabila kita memungut sisa kitar semula, itu juga harus diasingkan secara lebih terperinci. Pertamanya, plastik misalnya, dimasukkan ke dalam satu plastik kosong, tidak kisah warna apa pada masa ini. Kemudian kertas dan benda kitar semula yang lain,” katanya kepada Astro AWANI.
[INFOGRAFIK]:
Kitar semula sisa makanan: Apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan
Beliau berkata langkah ini bukanlah sesuatu yang begitu menyusahkan rakyat.
“Bayangkan, sekiranya 33,000 tan sisa buangan itu dapat kita asingkan di punca, maka kerja kita untuk mengasingkannya di tapak pelupusan sampah itu dapat dikurangkan dan kos kita juga boleh dikurangkan.
“Dan ini akan menyekat kenaikkan harga atau kos untuk pengurusan sisa pepejal di negara kita. Akhirnya rakyat juga yang dapat menikmatinya,” katanya.
Sementara itu, Abdul Rahman mengakui bahawa banyak kawasan bandar masih belum dilengkapi dengan kemudahan pusat kitar semula.
“Di peringkat kementerian, kita mensasarkan sebanyak 22 peratus kadar kitar semula untuk negara menjelang 2020.
“Salah satu cara untuk mencapai objektif ini adalah dengan membina pusat kitar semula dan memperbaiki pusat kitar semua yang sedia ada. Itu perlu dan kita akan menyediakan beberapa pendekatan termasuk meningkatkan bajet untuk tujuan membina lebih banyak lagi pusat-pusat kitar semula,” katanya.
Abdul Rahman juga menyeru negeri-negeri yang belum mengguna pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (Akta 672) untuk berbuat demikian secepat mungkin, supaya proses pengasingan sisa pepejal ini dapat diselaraskan di seluruh negara.
“Buat masa ini, kementerian hanya boleh mewujudkan program ini di negeri-negeri yang telah menerima pakai Akta 672. Akta ini hanya diguna pakai di negeri-negeri seperti Putrajaya, Pahang, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
“Mereka akan diwajibkan untuk mengasingkan sisa pepejal di punca. Tetapi untuk negeri-negeri yang belum menguna pakai Akta ini, saya menyeru agar negeri-negeri ini juga akan mengikut langkah negeri-negeri negeri yang telah menerima pakainya.
“Selagi itu, kita tidak boleh paksa. Tetapi kita amat berharap mereka dapat mengorak langkah yang sama sepaya kita ada satu dasar yang menyeluruh dan teratur di seluruh negera. Ada beberapa negeri yang sedang berunding dengan kementerian untuk mengambil pakai Akta ini,” katanya.
#pengasingan sisa pepejal #Rahman Dahlan
;