Ramai lagi saya tidak berjumpa, bukan Anwar sahaja, kata Obama
Shein Shanin
April 27, 2014 17:46 MYT
April 27, 2014 17:46 MYT
Hakikat bahawa Presiden Amerika Syarikat (AS) Barack Obama tidak bertemu dengan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rangka lawatannya ke negara ini bukannya kerana beliau tidak bimbang tentang isu -isu kebebasan awam di Malaysia.
Obama berkata beliau tidak berjumpa dengan ramai orang dan subjek kebebasan awam merupakan salah satu agenda utamanya semasa pertemuannya dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Apa yang saya telah berkongsi adalah kepercayaan teras bahawa masyarakat yang menghormati kedaulatan undang-undang, kebebasan bersuara, hak pembangkang untuk menentang walaupun ia menyusahkan, kebebasan berhimpun, menghormati rakyat berbilang kaum dan falsafah politik, adalah baik untuk mengukur bagaimana masyarakat akan berjaya dalam abad ke-21, "kata Obama dalam sidang media bersama Najib di Putrajaya petang tadi.
Sementara itu, Najib yang mengulas tentang kes liwat Anwar berkata kerajaan bukannya menentang Anwar tetapi ia dilakukan demi keadilan.
"Perkara ini berada di mahkamah dan tidak sesuai untuk saya mengulas apa-apa lagi mengenainya," kata Najib.
Najib berkata lebih banyak kerja yang perlu dilakukan dari segi kebebasan awam di negara ini dan masyarakat perlu bersedia untuk perubahan.
"Malaysia komited untuk kedaulatan undang-undang, kebebasan badan kehakiman, dan untuk kebebasan awam, "kata Najib.