Ramai kecewa Jalan Batang Kali-Genting ditutup setahun
Sinar Harian
Disember 21, 2022 09:30 MYT
Disember 21, 2022 09:30 MYT
HULU SELANGOR: Penutupan jalan Batang Kali ke Genting berikutan kerja pembaikan cerun dan jalan di kawasan insiden tanah runtuh yang dijangka mengambil masa setahun mengundang pelbagai reaksi pengguna laluan itu di laman sosial.
Salah seorang pengguna, Hasif Fakhrullah kesal kerana kerja-kerja pembaikan cerun dan jalan di kawasan insiden tanah runtuh itu mengambil tempoh terlalu lama dan selepas ini perlu menggunakan laluan jauh dan sesak di Gombak.
"Adoi... Setahun, jauh (kalau) ikut (laluan) Gombak naik ke sana (Genting Highlands) dan sesak," luah Hasif dalam ruangan komen laman Facebook MyHulu Selangor yang berkongsi mengenai perkembangan itu pada Selasa.
Sementara itu, Fatin Shuhaidah pula meminta pihak berkenaan agar memberi pertimbangan dan memikirkan kesan penutupan jalan kepada pengguna jalan raya di Batang Kali terutamanya yang bekerja di Genting Highlands.
"Fikir-fikirkanlah kami yang bekerja di Genting Highlands ini," luah Fatin.
Mohd Hairey pula mencadangkan pihak berkuasa berkaitan memberikan kemudahan kepada pengguna kenderaan ringan untuk berulang alik ke tempat kerja mereka menggunakan laluan berkenaan.
"Bagilah kemudahan untuk kenderaan ringan, motosikal lalu untuk mereka yang tinggal berdekatan keluar mencari rezeki, kesian kawan-kawan yang tinggal di Batang Kali nak pergi kerja ke Genting," ujarnya.
Azwanis Azmi pula berpandangan, laluan Batang Kali ke Genting adalah jalan alternatif bagi mengelak kesesakan lebih teruk di tol Gombak dan sekiranya ditutup ia akan memberikan kesan kepada ramai pengguna jalan raya.
Bagi Ani N Zaim, bukan sahaja pengguna jalan raya perlu melalui jarak perjalanan lebih jauh dan sesak selepas penutupan itu tetapi perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuk membayar tol, parkir dan bahan api kenderaan.
"Saya kerja di GPO (Genting Premium Outlets), parking RM24, minyak RM50, tol pergi balik RM12, makan sehari RM30 total sehari RM116, lagi dengan hendak hadap 'jem' satu hingga dua jam baru sampai.
"Sekurang-kurangnya bukalah jalan untuk motosikal, boleh juga lalu. Kalau yang tiada motosikal boleh cari inisiatif untuk cari motosikal, dugaan betul," katanya.
Pada Selasa, Kementerian Kerja Raya (KKR) memaklumkan kerja pembaikan cerun dan jalan di kawasan insiden tanah runtuh di Batang Kali, Selangor yang berlaku Jumaat lalu dijangka mengambil tempoh selama setahun sebelum laluan Jalan Batang Kali-Genting, Hulu Selangor boleh dibuka semula bagi laluan orang ramai.
Ketua Setiausahanya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dilaporkan berkata, sementara tempoh itu pengguna jalan raya diminta menggunakan laluan alternatif yang akan dikeluarkan bilik gerakan Jabatan Kerja Raya (JKR).
Beliau berkata, pihaknya juga akan membuat kajian dengan lebih mendalam di tapak tragedi berhubung pembinaan cerun selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) berakhir. -Sinar Harian
#Tanah Runtuh Batang Kali
#Genting Highlands
#Jalan Batang Kali-Genting
#kerja pembaikan cerun dan jalan