Ramai doktor dikesan alami kemurungan, enggan pergi kerja - MMA

Irfan Faruqi
April 4, 2023 14:55 MYT
Muruga menjelaskan keadaan kesihatan mental sebilangan pegawai perubatan adalah pada tahap yang membimbangkan. - Gambar hiasan/ Freeimages.com
KUALA LUMPUR: Terdapat sejumlah doktor yang berhadapan masalah kesihatan mental termasuk kemurungan sehingga perlu dirujuk kepada pakar psikiatri disebabkan kelesuan serta menanggung beban kerja yang terlalu banyak.
Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Muruga Raj Rajathurai, berkata berikutan itu, pihaknya mencadangkan sistem serahan tugas dilaksanakan agar doktor boleh pulang mengikut masa ditetapkan.
“MMA ada buat satu borang yang dikumpulkan dari United Kingdom dan Ireland. Borang ini kita panggil passover form.
"Katakan saya kerja dari pukul 7 pagi hingga 5 petang. Pada pukul 5 petang, saya akan pulang dan isi borang ini untuk setiap pesakit dan serahkan kepada pegawai perubatan syif seterusnya.
“Maknanya orang yang ambil alih pesakit daripada saya, dia tahu apa yang sudah dilakukan dan apa yang masih tertangguh,” katanya dalam program Agenda AWANI.
Sejumlah pegawai perubatan murung, tidak mahu pergi kerja - MMA
Katanya, pelaksanaan sistem ini adalah langkah awal untuk menangani isu kelesuan dalam kalangan doktor dan dalam masa yang sama, memastikan perkhidmatan penjagaan kesihatan pesakit tidak dikompromi.
Mengulas lanjut, Muruga menjelaskan keadaan kesihatan mental pegawai perubatan berada pada tahap yang membimbangkan.
"Ini adalah kerana, sejumlah pegawai perubatan ini mengalami kelesuan sehingga tidak mahu masuk bertugas.
“Sekiranya kita lakukan (penambahbaikan aturan kerja) saya rasa doktor-doktor kita tidak akan terlebih kerja. Sekarang ada yang sudah lesu, ada yang perlu jumpa ahli psikiatri.
“Ada juga yang murung sehingga tidak mahu pergi kerja. Sekurang-kurangnya (untuk waktu ini) kita lakukan penambahbaikan ini dan kurangkan beban kerja. Sementara kita bincangkan lebih lanjut mengenai kontrak dan penyerapan mereka sebagai doktor tetap,” katanya.
Beliau terdahulu mengulas mengenai beban kerja doktor termasuk sebilangan besar yang masih berstatus kontrak.
Bermula Isnin sehingga Rabu, kumpulan doktor kontrak yang dikenali Mogok Doktor Malaysia tidak berganjak daripada keputusan untuk meneruskan mogok melibatkan 10,000 sehingga 13,000 petugas kesihatan awam.

Thank you @HKontrak for your understanding and patience on this matter. I believe together, we can ensure transformation of our nation's healthcare services.#DRZ #KKM #MalaysiaMADANI pic.twitter.com/9EUvlsv3Uz

— Dr Zaliha Mustafa (@DrZalihaMustafa) April 3, 2023
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Terdahulu pada Sabtu, Menteri kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, Kabinet bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Peringkat Tertinggi melibatkan beberapa kementerian dan agensi bagi menangani isu berkaitan doktor kontrak.
Sebagai respon balas, Hartal Doktor Kontrak mendesak Kementerian Kesihatan (KKM) memasukkan sekretariat itu sebagai sebahagian daripada ahli dalam Jawatankuasa Peringkat Tertinggi bagi mewakili golongan berkenaan.
Sekretariat itu percaya usaha kerajaan bagi menangani masalah doktor kontrak tidak akan memberi sebarang impak atau membawa kepada penyelesaian sekiranya tiada wakil kumpulan itu dalam jawatankuasa tersebut.
Susulan itu, Zaliha menerusi perkongsian di media sosial menyambut baik usul Hartal Doktor Kontrak dan memberi komitmen untuk bekerjasama dengan sekretariat tersebut.
Dalam masa yang sama, beliau menzahirkan penghargaan atas kesabaran dan kematangan pihak Hartal Doktor Kontrak.
Agenda AWANI: Isu Doktor Kontrak | Apa penyelesaian menang-menang?
#Agenda Awani #Malaysian Medical Association #petugas kesihatan #KKM #Kementerian Kesihatan #Zaliha Mustafa #Doktor Kontrak
;