Ramai bersetuju masa siaran soal jawab di parlimen dipanjangkan
Irwan Muhammad Zain
Mei 30, 2013 07:00 MYT
Mei 30, 2013 07:00 MYT
Orang ramai menyambut baik cadangan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek untuk memanjangkan siaran langsung soal jawab di Parlimen di televisyen.
Shabery bertanyakan pendapat mengenai perkara tersebut menerusi akaun Facebooknya.
"Masa yang lebih panjang untuk siaran langsung soal jawab di parlimen? Setuju tak?" soal Ahli Parlimen Kemaman itu.
Kebanyakan komen bersetuju supaya masa yang lebih panjang untuk siaran soal jawab di parlimen dan ada yang mencadangkan supaya perbahasan disiarkan secara 'live streaming'.
"Sepatutnya begitulah, tp harap kualiti perbahasan semua YB dapat dipertingkatkan...Parlimen bukan mini zoo... berbahas la sebagai seorang intelektual....Tq," komen seorang pengunjung akaun Facebook Shabery yang menamakan dirinya Zurie Hanmi.
"Live streaming bagi setiap persidangan dewan. Pengguna internet boleh mengikuti perkembangan dewan," kata Mohammad Abd Rahman.
"Live streaming via web jer la DS. Airtime TV boleh masuk rancangan2 lain #pendapatperibadi," kata Fadhlina Ahmad
Namun ada juga antara komen yang menyatakan kebimbangan pembangkang akan menggunakan peluang bersiaran langsung untuk menyerang kerajaan dan membuat pelbagai propanganda.
"Saya setuju, tapi ada risikonya - pembangkang akan gunakan peluang siaran langsung untuk melakukan pelbagai propaganda tetapi saya yakin wakil BN bijak-bijak belaka dan sebab itu BN menang, Keterbukaan adalah sesuatu yang wajar diberikan perhatian. tahniah," kata Ayob Mamat.
Sebelum ini RTM menyiarkan siaran secara langsung ketika sesi soal jawab lisan setiap kali Dewan Rakyat bersidang namun ramai yang meminta supaya perbahasan juga disiarkan secara langsung.