Ramai anak muda yang kaya sekarang, bukan saya seorang - Adam Rosly
Rahimah Abdullah
November 15, 2016 16:42 MYT
November 15, 2016 16:42 MYT
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly menegaskan, banglo mewah yang dimilikinya di Jalan Pinang, Ampang, bukan berharga RM7 juta seperti yang didakwa banyak pihak termasuk Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunus.
Tegas individu berusia 28 tahun itu, banglo berkenaan diperolehi melalui hasil bidaannya dengan pihak bank pada harga RM1juta.
"Rumah itu saya bida dalam bank dengan nilai RM1 juta bukannya RM7 juta. Bank jual rumah terbengkalai, reka bentuk rumah itu kekal sama. Bukan saya yang reka nak duduk rumah dalam Disneyland (taman tema)," katanya semasa ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini hari ini.
Dia juga tidak menyangka pembelian banglo berkenaan menjadi satu fitnah dan viral di media sosial.
"Kalau tuan-tuan berada di Ampang dengan rumah di Ampang harga RM1juta sejuta sangat murah. Rugi kalau tak beli dengan reka bentuk yang begitu cantik tapi jadi viral dan fitnah pada saya," katanya lagi.
Beliau juga mengingatkan Jamal agar tidak mempersoalkan mengapa beliau dianugerahkan gelaran Datuk kerana Ketua Gerakan Baju Merah itu sendiri telah memperoleh gelaran sama pada usia muda.
"Seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa ramai anak muda yang kaya sekarang, ramai.. bukan saya seorang. Ramai anak muda yang dapat Datuk, kalau kamu persoalkan kenapa saya dapat Datuk, saya nak maklumkan, saya mendapat Datuk sebaris dengan Datuk Jamal di depan Tuanku," ujarnya.
Adam juga menegaskan, beliau bukan proksi mana-mana wakil rakyat termasuk Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin.
"Kami tegaskan kami parti berani. Ismail Kijo dan Jamal boleh buat laporan polis dan SPRM," ujarnya lagi.
Beberapa pemimpin bahagian dalam UMNO sebelum ini mendesak SPRM melakukan siasatan ke atas Adam susulan kemewahan 'anak buah' Zuraida itu termasuk mendakwa banglo yang didakwa bernilai RM7 juta.