Ramadan yang hiba, Aidilfitri yang suram buat penduduk Kampung Sungai Baru

Ridauddin Daud
April 10, 2022 20:37 MYT
Penduduk kini hanya menanti masa, ada juga yang sudah melakukan kerja-kerja mengemas rumah untuk berpindah. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kami tidak menolak pembangunan, kami hanya menolak penindasan.
Itu antara ayat tertera di kain rentang, dipasang penduduk Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur.
Mungkin mulut sudah penat menyuarakan isu sama, kini luahan dari lubuk hati mereka dicetak, dipampangkan agar semua boleh melihat, merasa dan harapnya, membela serta mengambil berat akan nasib mereka.
Difahamkan penduduk diarah mengosongkan rumah selepas Borang K dikeluarkan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) dikeluarkan pada 22 Mac lalu.
Ketika Astro AWANI tiba di sana, suasana di kampung tersebut sunyi, tidak tahulah mungkin kerana bulan Ramadan atau kerana penduduk kini hanya menghitung hari untuk meninggalkan rumah yang sudah lama mereka duduki.
Menelusuri satu-persatu lorong di kampung tersebut, ternyata keadaannya sama, cuma sedikit meriah di Kelab Rukun Tetangga (KRT) kampung itu, kelihatan beberapa orang sibuk mengedarkan bubur lambuk.
Di situ jugalah kru kami menemui lelaki berusia 54 tahun ini, Mohamad Shahmir Ah Shaari, salah seorang penduduk yang menerima notis untuk berpindah.
Dia kini buntu, tidak tahu ke mana lagi boleh disalurkan rayuannya kerana pada usianya dan dengan kesihatan diri dan isteri juga tidak mengizinkan, berita yang mereka terima itu merupakan tamparan hebat buatnya dan isteri.
“Jika rumah ini diambil pihak swasta dengan pampasan yang terlalu rendah untuk saya, di manakah saya akan tinggal? Itu persoalannya.
“Isteri saya sudahlah tidak bekerja, saya tiada pendapatan langsung. Jadi dengan dua pampasan yang saya dapat nanti, apa rumah yang saya boleh dapat?
“Kalau nak kata melawak pun, tanah kubur pun tak lepas nanti kalau kita nak duduk,” katanya.
Bagi Anuar Ahmad pula, sudah berkajang-kajang luahan hatinya ditulis, dikongsikan dengan rakan-rakan, mengharapkan agar setidak-tidak ada yang tampil menghulurkan bantuan.
“Kalau setakat pampasan yang dia bagi, saya tidak akan pindah. Saya nak cari rumah kat mana dengan harga RM250,000. Kalau ditambah, boleh saya kosongkan rumah.
“Kami sebenarnya sebelum ini melalui jawatankuasa bertindak, berusaha, pergi sana, pergi sini, semua kami jumpa, minta tolong.
“Cuma Khalid Samad (bekas Menteri Wilayah Persekutuan) dapat suarakan di Parlimen, tapi hasilnya tak nampak pun, kami dah pergi semua tempat,” ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Hashim Mohd Salleh, 62 tahun mengakui berasa sedih dengan apa berlaku dan surat diterima ibarat sembilu yang saban hari menghiris-hiris hatinya, sakit benar rasanya.
Lebih sedih, dia berasakan penduduk seolah-olah berjuang sendirian, dibiarkan terkontang-kanting mencari segala bentuk penyelesaian.
Pemimpin yang beramah-mesra ketika hampir pilihan raya entah ke mana, yang datang bertanya khabar dan cerita pun hanya dari rakan-rakan, saudara mara dan media.
“Waktu kami dapat surat, betul-betul ia memang membunuh perasaan kami, kecewa yang teramat sangat. Tapi kekecewaan kami ini, orang lain tak dapat rasa. Hanya kami di Kampung Baru inilah yang berasa betapa perit, pedih, sedih, sebak, semua adalah kat situ.
“Lepas dapat surat, saya bincang dengan orang rumah, kita cakap Allahuakbar, mana kita nak tuju, dengan tempat untuk pindah pun kita tak jumpa lagi, tak dapat lagi, dengan keadaan puasa, dengan raya.
“Allahuakbar, betul-betul kita rasa kecewalah dengan kedatangan surat yang tak dijangka ini,” katanya.
Menurutnya, dia dan keluarga sedia berpindah namun berikanlah sedikit masa, enam bulan atau setahun untuk persediaan, bukan datang secara mengejut seperti berlaku sekarang.
Kisah mereka menjadi tumpuan sejak kebelakangan ini namun penduduk sedih, meskipun sudah banyak luahan disiarkan di media namun nasib mereka seolah-olah tidak dipedulikan.
Bagi mereka, Ramadan dan Aidilfitri pada tahun ini seakan-akan hilang serinya apabila menerima dugaan besar sebegitu.
Notis Keluar Rumah | Ramadan yang hiba, penduduk Kampung Sungai Baru
Isu pengambilan tanah Kampung Baru kembali hangat apabila kerajaan didakwa menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 (Akta 486) di kawasan itu untuk dimajukan.
Rancangan pembangunan semula itu meliputi kawasan penduduk yang mendiami dua jenis kediaman, iaitu flat PKNS dan rumah di tanah persendirian.
Difahamkan, sebanyak 70 peratus pemilik di kawasan terbabit didakwa bersetuju dengan pembangunan semula kawasan berkenaan dan memberikan tandatangan.
Penduduk rumah flat PKNS itu dikatakan mendapat nilai pampasan antara RM200,000 hingga RM250,000.
Sementara itu, Berita Harian Online melaporkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, pihaknya akan membincangkan perkara itu bersama pihak berkepentingan esok.
“Saya pun belum dapat maklumat tepat mengenai perkara ini kerana urusan pengambilan tanah ini dibuat oleh PTG, bukannya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Saya masih di peringkat rundingan dan mereka akan beri maklumat minggu depan. Kita akan nilai semula perkara ini esok.
“Difahamkan pemilik unit yang mendapat notis sudah mendapat pampasan dari pihak kerajaan, selain notis tidak menyatakan tarikh mereka perlu keluar, bukan Ramadan mahupun Aidilfitri,” katanya memetik laporan tersebut.
#Ramadan #Kuala Lumpur #Kampung Sungai Baru #puasa #Aidilfitri #kain rentang
;