Ramadan yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba, ayuh ulang kaji lafaz, niat puasa

Astro Awani
Mac 11, 2024 19:00 MYT
Puasa seseorang itu tidak sah sekiranya tidak diiringi dengan niat untuk mengerjakannya kerana Allah SWT. - Gambar hiasan
BULAN keampunan, Ramadan yang ditunggu-tunggu setiap umat Islam akhirnya tiba, dan pastinya ramai yang tidak sabar-sabar menunggu untuk memulakan solat tarawih malam ini dan bersahur awal pagi esok.
Dalam keghairahan kita menyambut bulan istimewa ini, mari kita membuat sedikit ulang kaji mengenai niat berpuasa serta doa berbuka puasa.
Haruslah diketahui bahawasanya niat merupakan syarat sah berpuasa dan hukumnya adalah wajib.
Puasa seseorang itu tidak sah sekiranya tidak diiringi dengan niat untuk mengerjakannya kerana Allah SWT.
Dalam laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, terdapat satu artikel yang menjelaskan panjang lebar mengenai kepentingan umat Islam yang sah syarat berpuasa untuk berniat melakukan rukun Islam ketiga itu.
Memetik laman web berkenaan: "Berpuasa itu adalah satu ibadah (ibadah mahdhoh) dan sesuatu ibadah itu tidak sah melainkan disertakan bersamanya niat seperti mana solat.
Firman Allah dalam surah Al-Bayyinah ayat ke-5 yang membawa maksud:
“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya."
Bahkan sabda Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari membawa maksud: “Hanyasanya perbuatan-perbuatan itu dengan niat.”
Syarat-syarat niat berpuasa:
Islam telah menetapkan dalam berniat untuk berpuasa, terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi.
Kebanyakan kitab fiqh telah menggariskan beberapa panduan dalam berniat ketika berpuasa bagi memudahkan umat Islam memahaminya.
Antara yang disebutkan ialah:
1. Al-Jazm: yang dimaksudkan di sini adalah benar-benar memastikan tanpa ragu-ragu.
2. Al-Ta’yiin: iaitu penentuan jenis puasa. Seseorang yang ingin berpuasa perlulah menentukan jenis puasanya sama ada ia puasa Ramadan, wajib (qadha’, kaffarah, nazar) ataupun sunat (Isnin-Khamis, hari Arafah, ‘Asyura dan sebagainya). Tidak memadai dengan berniat secara mutlak untuk berpuasa.
3. Al-Tabyiit: menetapkan niat pada malam hari. Waktunya adalah selepas tenggelamnya matahari sehinggalah terbitnya fajar sadiq (waktu bersahur juga masih dikira sebagai waktu untuk berniat). Ini adalah syarat di sisi al-Malikiyyah, al-Syafi’iyyah dan juga al-Hanabilah.
Ini berdasarkan sebuah hadis Nabi Muhammad SAW riwayat Hafsah R.Anha yang membawa maksud:
“Barangsiapa yang tidak berniat (pada malam hari) sebelum terbit fajar, maka tiada puasa baginya (pada hari tersebut).
Adakah niat perlu diperbaharui setiap malam atau memadai niat 30 hari sekali gus?
Persoalan ini juga tidak terlepas menjadi bahan perdebatan dalam kalangan umat Islam.
Artikel di ruangan Irsyad Al-Fatwa Khas Ramadan menyebut para ulama menggariskan dua pendapat di dalam permasalahan ini:
• Pertama: Boleh diniatkan terus sebulan berpuasa dan ini merupakan pendapat al-Imam Zufar dan al-Imam Malik. Mereka mengatakan bahawa berpadalah bagi seseorang itu untuk berniat sekali sahaja iaitu dengan meniatkan sebulan berpuasa pada awal permulaan niat. [1] Ia sepertimana solat yang mana seseorang itu hanya perlu niat dipermulaan solat dan tidak perlu mengulanginya pada rakaat-rakaat yang lain.
Begitu juga pendapat mereka bagi puasa yang berturutan seperti puasa kafarah dan juga puasa kafarah bagi had zihar.
• Kedua: Tidak berpada dengan niat sebulan sekali gus bahkan perlulah memperbaharui niat pada setiap malam. [2] Ini adalah pendapat jumhur berdasarkan keumuman hadis Hafsah R.Anha sebelum ini. Ini kerana, puasa itu setiap harinya adalah ibadah yang bersendiri (mustaqil). Ia tidak terikat antara satu sama lain (dengan hari lain-lainnya).
Puasa pada hari berikutnya juga tidak rosak sekiranya pada hari ini rosak.
Tidak seperti solat yang mana sekiranya batal di rakaat pertama, maka batallah keseluruhan solat itu.
Tarjih
Berdasarkan dalil dan juga alasan yang diberikan dalam permasalahan ini, kami lebih cenderung kepada pendapat jumhur dan ia juga adalah pendapat mazhab kita, mazhab al-Syafi’ie iaitu niat perlulah diperbaharui pada setiap malam untuk berpuasa.
Adapun pendapat yang mengatakan boleh berniat sekali gus untuk berpuasa selama sebulan di permulaan niat, maka kami katakan tiada masalah untuk melakukannya sebagai langkah berjaga-jaga dan dalam masa yang sama hendaklah seseorang itu berniat juga pada setiap malam.
Doa berbuka puasa
Selain amalan melafazkan niat berpuasa, Islam turut menuntut umatnya untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan sekalipun.
Justeru, di bulan penuh kemuliaan ini juga kita tidak terlepas daripada digalakkan untuk berdoa semasa berbuka puasa.k
Dalam laman web yang sama dijelaskan ita dituntut di dalam agama untuk sentiasa berdoa kepada Allah walaupun ketika makan. Tambahan pula, doa orang yang berpuasa adalah mustajab. Terdapat satu hadith di dalam Sunan Abi Daud:
Daripada Ibn Umar RA berkata, bahawa Nabi SAW apabila hendak berbuka, Baginda SAW membaca (doa) yang membawa maksud: "Telah hilang dahaga, telah basah urat-urat dan telah ditetapkan pahala Insya-Allah."
"Kami berpandangan bahawa setiap orang boleh dibolehkan berdoa dengan apa jua doa selagi mana maksud atau makna doa itu tidak bertentangan dengan al-Quran dan hadis Nabi SAW tanpa menyandarkannya kepada Rasulullah SAW.
"Akan tetapi, jika ingin dilihat dari sudut status hadis, doa yang pertama lebih sahih dari sudut sanadnya berbanding hadis yang kedua."
* Artikel ini bersumberkan laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.
#Ramadan 2024 #niat berpuasa #niat sebulan #Mufti Wilayah Persekutuan #jendela ramadan
;