Ramadan: Selangor pertimbang benar penjawat awam wanita pulang awal - Amirudin
Bernama
Februari 27, 2025 19:53 MYT
Februari 27, 2025 19:53 MYT
Datuk Seri Amirudin Shari berkata secara asasnya, waktu bekerja ditetapkan ketika ini mencukupi untuk pekerja wanita pulang bagi menguruskan keluarga dan sebagainya. - Gambar fail
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor sedia mempertimbangkan cadangan membenarkan penjawat awam wanita di bawah pentadbiran kerajaan negeri pulang awal pada Ramadan ini.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata secara asasnya, waktu bekerja ditetapkan ketika ini mencukupi untuk pekerja wanita pulang bagi menguruskan keluarga dan sebagainya.
"Kita akan bincang dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) jika ada keperluan. Setakat ini masa bekerja yang telah kita tetapkan mencukupi, khususnya kepada pekerja wanita.
"Kita juga boleh pertimbang kaedah masa fleksibel iaitu, kalau pulang awal, pekerja berkenaan boleh datang awal ke pejabat," katanya selepas merasmikan Festival Ramadan Selangor 2025 (FESTIRA) di sini hari ini.
Beliau mengulas sama ada Selangor akan mengikut langkah kerajaan Negeri Sembilan yang membenarkan penjawat awam wanita di bawah pentadbiran kerajaan negeri itu pulang seawal 2 petang pada setiap Jumaat sepanjang Ramadan.
Amirudin berkata pelaksanaan waktu kerja fleksibel merupakan antara perkara dimintanya untuk dibincangkan dalam MMKN akan datang.
-- BERNAMA