Ramadan: Segelintir individu ambil kesempatan mengemis, minta sedekah

Aida Aziz
Mac 29, 2023 05:30 MYT
Salbiah berkata, tidak dinafikan wujud segelintir individu yang mengambil kesempatan dengan kemurahan hati orang ramai yang gemar bersedekah. - Astro AWANI
IPOH: Tindakan tegas akan diambil jika terdapat pihak tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan dengan mengemis dan meminta sedekah, khususnya pada bulan Ramadan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan Koperasi, Salbiah Mohamed berkata, tidak dinafikan wujud segelintir individu yang mengambil kesempatan dengan kemurahan hati orang ramai yang gemar bersedekah.
"Ramadan merupakan bulan penuh keberkatan, ada orang yang mengambil ini sebagai kesempatan untuk meraih simpati.
"Bila kita buat kebaikan dalam bulan ini, pahalanya berlipat kali ganda dan orang ramai memang akan ambil rebut peluang bulan Ramadan ini untuk bersedekah.
"Kita akan maklumkan kepada agensi berkaitan termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) sekiranya terdapat sebarang aduan mengenai aktiviti tersebut," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas sesi 'walkabout' di Bazar Ramadan Bulatan Amanjaya Meru Raya, di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada wujud lambakan kes aktiviti mengemis dan minta sedekah ketika bulan Ramadan di negeri ini.
Dalam pada itu, Salbiah berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang aduan berhubung perkara itu, bagaimanapun katanya aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan memang dijalankan dari masa ke semasa.
"Isu ini (minta sedekah, mengemis) bukan saja pada bulan Ramadan tetapi sebelum ini pun kita lakukan pemantauan, terutamanya jika ia membabitkan kanak-kanak.
Sebelum ini media melaporkan, sikap penduduk yang suka bersedekah terutama pada bulan Ramadan menjadikan beberapa kawasan di negeri tertentu jadi tumpuan pengemis warga asing.
Antara modus operandi yang digunakan pengemis warga asing bagi meraih simpati orang ramai adalah dengan memakai pakaian lusuh selain membawa kanak-kanak kecil bersama.
#Puasa 2023 #mengemis #minta sedekah #Salbiah Mohamed
;