Ramadan: Program PKNS bersama gelandangan pupuk persaudaraan
Madiha Abdullah
Mac 18, 2024 07:40 MYT
Mac 18, 2024 07:40 MYT
KUALA LUMPUR: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengimarahkan bulan Ramadan dengan menyantuni golongan kurang bernasib baik, termasuk gelandangan di ibu kota, menerusi Program Berbuka Bersama Gelandangan Ramadan Kasih PKNS, semalam.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Korporat) PKNS, Suhaimi Kasdon berkata, ia merupakan salah satu daripada siri program amal tahun ini, bertujuan memupuk semangat persaudaraan dan kepedulian masyarakat.
Program itu juga, katanya, secara tidak langsung mencerminkan komitmen PKNS untuk menyumbang kepada masyarakat.
PKNS menyerahkan sumbangan RM3,000 kepada Warung Makan Sahabat di Jalan Chow Kit bagi menampung kos penyediaan 300 bungkus makanan yang diedarkan kepada gelandangan.
"Ini kali kedua kami bekerjasama dengan Warung Makan Sahabat. Urusan pengagihan kita serahkan kepada mereka, kita uruskan pembekalan makanan untuk kira-kira 300 individu.
"Kita peruntukkan RM120,000 untuk keseluruhan program dalam bulan Ramadan kali," katanya ketika ditemui pada program tersebut.
Bagi Warung Makan Sahabat yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu sebagai pusat sehenti untuk gelandangan, mereka berbesar hati dengan sumbangan yang tidak putus dari pelbagai pihak dan badan korporat dalam usaha membantu mereka yang tidak berkemampuan.
"Untuk Ramadan, kita ada banyak sokongan dari orang luar. Hari ini kita ada PKNS, kita masak sendiri dan edarkan makanan tetapi sebelum itu kita ada tazkirah dan mengaji.
"Harapan saya program menyumbang seperti ini berterusan. Saya anggap ini bukan sekadar kerja amal tetapi rezeki Allah yang perlu disempurnakan," kata pengasasnya, Harun Abu Bakar.