Ramadan pertama di Kuala Lumpur...
Hilal Azmi
Mei 6, 2019 23:08 MYT
Mei 6, 2019 23:08 MYT
Bazar Ramadan amat sinonim dengan keperluan hidup warga kota di Kuala Lumpur dan antara lokasi yang menjadi tumpuan ialah di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan juga di Jalan Masjid India.
Namun, peningkatan populasi menjadikan Kuala Lumpur semakin padat memerlukan satu langkah proaktif bagi mengelak jalan-jalan utama terus sesak apabila tibanya bulan Ramadan.
Justeru, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengambil inisiatif untuk memindahkan Bazar Ramadan berkenaan ke lokasi baru, iaitu di Jalan Raja berdekatan dengan Dataran Merdeka.
Tapak bazar Ramadan Jalan Raja bermula dari persimpangan lampu isyarat Leboh Pasar Besar hingga ke Jalan Perak mula beroperasi dari 6 Mei hingga 5 Jun.
Tinjauan Astro AWANI pada Isnin mendapati, tidak lebih 30 gerai yang kini beroperasi di tapak baru berkenaan.
Situasi ini agak mengejutkan jika dibandingkan dengan situasi sama pada tahun-tahun sebelumnya (iaitu pada 1 Ramadan) di Jalan Masjid India yang telah mula meriah dengan peniaga yang menawarkan pelbagai kelengkapan menjelang Aidilfitri.
Situasi ini diakui oleh salah seorang peniaga pakaian kanak-kanak, Faizal Rahim yang sudah lebih 10 tahun pengalaman berniaga di bazar Ramadan Kuala Lumpur.
"Ini kali pertama saya pindah lokasi berniaga seperti yang diarahkan pihak DBKL.
"Tapak yang ditawarkan lebih murah berbanding sebelumnya dan kemudahan yang ditawarkan juga lebih selesa apabila kami ada tempat berlindung di bawah khemah besar, kipas dan juga lampu," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Namun, setiap perubahan ada cabarannya.
Jalan Raja mungkin memberikan ruang yang lebih luas buat peniaga tetapi mungkin menyukarkan pengunjung yang mahu 'cuci mata' di sini.
Bagi Siti Hajar, pengunjung mungkin sukar untuk datang memandangkan lokasi tempat letak kereta yang agak jauh.
"Saya dah beberapa tahun berniaga di Bazar Ramadan, tapi di sini (Jalan Raja) mungkin lebih ramai pelancong daripada rakyat Malaysia.
"Tapi, saya yakin menjelang minggu depan, lokasi ini akan jadi tumpuan ramai," katanya yang menjual tudung dan aksesori wanita.
Di sini, ada 344 petak disediakan DBKL kepada peniaga membabitkan lima kategori jualan yang dibenarkan antaranya pakaian, barangan serta peralatan kering, makanan kering berbungkus, perhiasan dan aksesori diri serta perhiasan dan aksesori rumah.
#Aidilfitri
#Astro Awani
#Bazar Ramadan
#Dataran Merdeka
#Jalan Masjid India
#Jalan Tuanku Abdul Rahman
#Kuala Lumpur
#Ramadan