'Ramadan paling perih buat saya' - Pelajar Filipina
Afiq Ariffin
Mei 7, 2020 20:51 MYT
Mei 7, 2020 20:51 MYT
Jika anda fikir Ramadan kali ini paling mencabar buat semua umat Islam di negara ini, bagaimana pula dengan pelajar warga asing yang menuntut ilmu di bumi bertuah ini?
Astro AWANI sempat menemubual salah seorang pelajar warga Filipina yang melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains Kemanusiaan & Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), bagi berkongsikan cerita tentang bagaimana beliau menjalani bulan mulia ini.
Ketika ditanya bagaimana dia menjalani Ramadan kali ini, Abdul Kabir Gonzales memberikan riak wajah rindunya terhadap keluarga di wilayah Palawan, Filipina.
Lebih-lebih lagi apabila hasratnya untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarganya, lebur kerana faktor keselamatan akibat pandemik COVID-19.
“Saya rindu untuk menyambut Aidilfitri bersama keluarga saya, kedua ibu bapa saya kerana saya sudah lama tidak berjumpa dengan mereka, sejak saya melanjutkan pelajaran di sini.
"Kebiasaannya, kami sambut Aidilfitri dengan melawat sanak-saudara, sahabat handai dan jiran tetangga serta mengadakan piknik di kawasan tertentu.
"Saya juga rindu masakan ibu saya," ujarnya.
Jelas Kabir lagi, walaupun kerajaan Malaysia membenarkan pelajar untuk pulang ke kampung halaman bagi menghabiskan sisa Ramadan bersama keluarga tersayang, dia masih mengalami kesukaran untuk pulang ke Filipina kerana negara itu turut melaksanakan kawalan ketat di pintu masuk negara ekoran pandemik COVID-19.
Namun, jelasnya, ibadah di bulan ramadan tetap boleh disempurnakan biarpun mempunyai banyak batasan.
“Setakat ini, kami masih mampu menyempurnakan ibadah puasa dan menunaikan solat tarawih seeloknya walaupun di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Namun, saya masih tidak dapat menikmati ibadah Ramadan sepenuhnya kerana tidak dapat menunaikan tarawih dan solat Jumaat di masjid berdekatan, membeli pakaian baharu serta berjalan-jalan bersama rakan-rakan.
“Bagaimanapun, saya tahu bahawa apa yang kerajaan Malaysia lakukan ini adalah untuk keselamatan semua pihak,” katanya.
Jelas Kabir lagi, Ramadan tahun ini menjadi satu momen yang penuh makna buat dirinya walaupun mungkin tidak dapat berhari raya bersama dengan keluarga tercinta.
"Apa yang saya boleh katakan ialah Ramadan tahun ini merupakan Ramadan yang paling saya ingati kerana banyak perkara yang berlaku kepada saya, sama ada baik atau buruk," luah Abdul Kabir lagi
Bagaimanapun, beliau tetap mengharapkan agar dunia kembali pulih dan penularan COVID-19 segera dihentikan.
#Aidilfitri
#Astro Awani
#Filipina
#Islam
#keluarga
#keselamatan
#koronavirus
#Malaysia
#pelajar
#puasa
#Ramadan
#Rindu Ramadan
#universiti