Ramadan: Mahasiswa UIS, sertai qiamullail dan subuh berjemaah

Kenyataan Media
Mac 1, 2025 18:55 MYT
Seramai 2,500 mahasiswa UIS baru-baru ini telah menyertai program Qiamullail Perdana yang diikuti dengan solat Subuh berjemaah dan Program Sembang Santai Bersama Pencetus Ummah (PU) Amin dan Imam Muda Megat. - Foto UIS
QIAMULLAIL dan solat berjemaah sangat berkesan dalam mendidik hati dan mengukuhkan hubungan seseorang Muslim dengan Allah SWT.
Memahami hakikat ini, Masjid Al-Azhar, Universiti Islam Selangor (UIS) menggerakkan usaha yang berterusan untuk menggalakkan mahasiswa agar terus dekat dengan masjid dengan melaksanakan solat berjemaah dan aktiviti-aktiviti kerohanian yang lain.
Seramai 2,500 mahasiswa UIS baru-baru ini telah menyertai program Qiamullail Perdana yang diikuti dengan solat Subuh berjemaah dan Program Sembang Santai Bersama Pencetus Ummah (PU) Amin dan Imam Muda Megat.
Program menjelang Ramadan ini juga bertujuan bagi memupuk usaha berterusan cinta masjid yang bakal dipenuhi dengan pelbagai program pengimarahan Ramadan seperti Tadarus al-Quran, berbuka puasa, solat Tarawih selain galakan solat berjemaah bagi setiap waktu solat.
Nazir Masjid Al-Azhar UIS, Ust. Mohammad Fairuz Yusoff yang turut serta melihat sambutan yang menggalakan ini sebagai suatu yang sangat memberangsangkan.
“Keterlibatan mahasiswa UIS dalam pelbagai aktiviti masjid yang menggalakan ini, memberi indikator bahawa mereka sentiasa mahu meningkatkan keilmuan, tawaduk dalam beribadah dan muhasabah yang berterusan. Insya-Allah ibadah yang dilaksanakan secara istiqamah ini dapat membentuk generasi muda yang berakhlak mulia dan lebih bertanggungjawab terhadap agama dan masyarakat.
“Mahasiswa saling memberi inspirasi serta mempengaruhi rakan-rakan lain untuk turut serta dalam aktiviti pengimarahan masjid, kerana mereka menunjukkan kekuatan semangat dan kesatuan yang tercermin daripada ramai yang hadir,” katanya.
Menurut beliau lagi, galakan berterusan yang terdekat selepas ini ialah program ‘40 Hari Subuh Berjemaah’ secara konsisten bagi menyubur dan membudayakan kekuatan jati diri pemuda Muslim. Mahasiswa yang istiqamah solat Subuh berjemaah di masjid akan diberikan saguhati penghargaan sebagai sokongan untuk terus 'melekat' atau terpaut hatinya untuk solat 5 waktu secara berjamaah di masjid.
Masjid Al-Azhar, UIS juga turut menyediakan sarapan percuma kepada mahasiswa setiap hari Rabu dan Jumaat; serta Iftar Sunat Isnin dan Khamis di masjid bagi menggalakkan pelajar puasa sunat dan berbuka di masjid.
Sementara itu menurut Ustaz Muhammad Faiz Mukmin Abdul Mutalib, sebagai Pengarah Program usaha menambat hati para pemuda mendekati masjid merupakan peranan besar sesebuah masjid, sebagai institusi Islam.
Mengulas pesanan panel dalam sesi sembang santai yang menyentuh bahawa “Ramadan adalah madrasah yang mendidik jiwa kita untuk beroleh takwa; dan takwa inilah yang akan menjaga umat Islam untuk bulan-bulan yang seterusnya. Maka sangat penting untuk kita mengetahui nilai besar Ramadan yang dikurniakan Allah, agar dapat dimanfaatkan dan disyukuri sepenuhnya”.
#Qiamullail #solat berjemaah #Universiti Islam Selangor #Ramadan
;