Ramadan: Kongsi rezeki juadah buka puasa secara pandu lalu
Siti Nur Aqilla Omar
April 14, 2022 09:20 MYT
April 14, 2022 09:20 MYT
PASIR GUDANG: Fasa peralihan ke endemik ketika ini dijadikan sebagai permulaan buat sesetengah masyarakat untuk bangkit semula.
Mungkin dengan kekangan yang dihadapi, mereka terpaksa menahan keinginan makan makanan berbuka puasa yang enak.
Menyedari perkara itu, usahawan, Zulaikha Makar berkongsi rezeki dengan memberikan sumbangan juadah berbuka puasa kepada orang ramai.
Uniknya, Zulaikha mengagihkan juadah tersebut secara pandu lalu di hadapan rumah.
Aneka juadah yang disediakan termasuk kuih muih, nasi berlauk, bubur lambuk dan minuman secara percuma dan sesiapa sahaja boleh mengambilnya.
Setiap hari, lebih 100 orang hadir untuk mendapatkan sumbangan juadah tersebut.
Ada juga yang beratur seawal jam 4 petang sehingga juadah habis diambil sekitar jam 6 petang.
"Sepanjang Ramadan insyaAllah saya akan beri makanan secara percuma tanpa syarat, boleh datang untuk mak ayah atau jiran yang tidak ada kenderaan, boleh amil.
"Saya pesan apa yang saya suka makanan, saya akan kongsi dengan orang ramai. Bila orang nampak, bagi mereka satu inspirasi jadi mereka turut kongsi rezeki. Satu atau dua orang akan infak beri makanan kepada orang ramai," katanya.
Setiap hari menu yang disumbangkan adalah berbeza.
Ada juadah yang dimasak sendiri, ada juga yang dibeli daripada peniaga kecil bagi membantu perniagaan mereka.
Malah ada juga sumbangan infak orang sekeliling yang turut sama mahu berkongsi rezeki.