Ramadan: Jadikan tahun ini sebagai 'reset' beribadah

Nursyazwani Saiful Sham
April 13, 2021 12:12 MYT
Imam Muda Asyraf dan Mizz Nina masing-masing berpendapat bulan Ramadan tahun ini wajar dijadikan sebagai peluang untuk tetapkan semula ibadah kepada Allah SWT. - Foto Facebook
KUALA LUMPUR : Jadikan Ramadan tahun ini sebagai peluang menetapkan semula atau ‘reset’ kehidupan untuk beribadah kepada Allah SWT.
Pendakwah bebas, Imam Muda Asyraf turut menasihatkan umat Islam untuk menggunakan peluang ini bagi menguruskan masa dengan betul dengan menjadikan ibadah sebagai rutin harian.
“Bulan Ramadan sebenarnya bukan hanya untuk orang beriman sahaja berpuasa, kita perlu tukar pemahaman kita dengan bulan puasa adalah orang yang nak jadi baik maka dia perlu berpuasa.
“Bukan orang baik maka dia berpuasa, jadi bagi umat Islam yang ingin menjadi seorang yang lebih baik maka berpuasa lah kamu.
“Berpuasa ini sebenarnya adalah ‘reset’ semula kehidupan kita, kadang-kadang pelbagai aktiviti kita lakukan jadi pada bulan ini mungkin ada aktiviti tertentu yang tidak perlu dilakukan, dibuang daripada rutin harian,” ujarnya.
Malah katanya, orang ramai dinasihatkan untuk menghentikan kritikan terhadap mereka yang menjadikan Ramadan ini sebagai titik perubahan ke arah lebih baik.
Nada sama turut disuarakan selebriti yang juga CEO dan Pengasas aplikasi Qalby, Mizz Nina.
Beliau turut menasihatkan agar umat Islam menggunakan masa terluang mengingati Allah SWT sebagai amalan ibadah.
“Apa yang penting bagi saya adalah saya cuba yang terbaik apabila kita sedang tidak melakukan apa-apa contohnya pada waktu lapang, kita perlu ingat kepada Allah SWT.
“Saya selalu menasihatkan diri saya, apabila ada masa terluang selalu ingat kepada Allah. Jadi pada bulan Ramadan ini, kita dijemput olehNya untuk mendekatiNya.
“Banyakkan berzikir terutamanya apabila berkelapangan contohnya ketika menempuh kesesakan jalan raya, sebelum berbuka. Kita cuba perlu memahami dan berhubung semula dengan al-Quran,’’ katanya.
Mizz Nina dan Imam Muda Asyraf berkata demikian sebagai tetamu undang Awani PAGI segmen Selebriti Selasa.
Tonton perkongsian penuh menerusi pautan di bawah;
AWANI Pagi: Cari keberkatan dalam kesederhanaan
#Ramadan #Allah #puasa #Islam #mizz nina #Imam Muda Asyraf
;